Vietnam sambut Hari Wira Perang

Vietnam sambut Hari Wira Perang

QUANG TRI, Vietnam, 27 Julai (Agensi) – Barisan lilin dinyalakan di beribu-ribu tanah perkuburan di bandar dan wilayah seluruh Vietnam malam semalam sebagai memperingati anggota tentera yang kecundang ketika mempertahankan negara, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Aktiviti penyalaan lilin terbabit membentuk sebahagian aktiviti bersama yang dijalankan oleh Kementerian Buruh dan Hal Ehwal Sosial dan Jawatankuasa pusat Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh, sempena ulang tahun ke-68 Hari Wira Perang yang jatuh pada 27 Julai setiap tahun.

Di Pusara Pahlawan Negara Jalan 9 di bahagian tengah wilayah Quang Tri, lebih 1,000 anggota belia dan para pegawai bertafakur di kawasan perkuburan anggota revolusioner dan tentera.

Di majlis itu, sumbangan juga diberikan kepada berpuluh-puluh anggota keluarga wira negara yang maut di medan perang.

Setiausaha Pertama Jawatankuasa Pusat Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh, Nguyen Dac Vinh menggesa para belia seluruh negara supaya menanam sikap cintakan negara serta menghargai segala jasa mereka yang menyumbang khidmat kepada negara.

Di antara tanah perkuburan yang didedikasikan kepada wira perang seluruh negara ialah Pusara Wira Negara Jalan 9 yang menempatkan lebih 10,000 jasad anggota tentera yang mempertaruhkan jiwa dan raga mereka ketika perang anti Amerika Syarikat. Kira-kira 10,263 jasad anggota tentera lain dari seluruh negara turut dikebumikan di Pusara Wira Negara Truong Son.

ARTIKEL YANG SAMA