Vietnam sedia hadapi ribut tropika Aere

Vietnam sedia hadapi ribut tropika Aere

HANOI, 6 Okt – Jabatan Pencegahan Bencana Alam dan Kawalan Vietnam kelmarin menggesa penduduk yang berada di kawasan pantai untuk melakukan persediaan bagi menghadapi ribut tropika Aere.

Penduduk yang berada di pesisiran pantai negara itu dari utara wilayah Quang Ninh ke pusat wilayah selatan Khanh Hoa, bersama-sama dengan kementerian yang berkaitan diminta untuk mendapatkan kemaskini terhadap perkembangan ribut tropika aere.

Pada masa yang sama, bot-bot dan kapal-kapal yang beroperasi di perairan tersebut perlu diberitahu mengenai kedudukan dan perkembangan ribut tersebut untuk mengelakkan membuat perjalanan di kawasan berbahaya.

Dalam masa 48-71 jam yang akan datang, Taufan Aere dikatakan akan menjadi lebih kuat, kata jabatan itu dalam laman webnya.

Jika ia melanda Vietnam, taufan itu akan membuat pendaratan yang keenam di negara itu pada tahun ini.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2016, bencana alam termasuk kesejukan, banjir, ribut, ribut tropika, dan hujan lebat telah mengorbankan 125 jiwa di Vietnam dan mencederakan 266 orang yang lainnya.

Kerugian ekonomi yang disebabkan oleh bencana alam itu mencapai 10.6 trilion Vietnam dong (lebih daripada AS$470 juta) di Vietnam dalam tempoh sembilan bulan, menurut Jabatan Statistik Awam. – Xinhua