Vietnam ‘siap siaga’ tangani ancaman China

Vietnam ‘siap siaga’ tangani ancaman China

XUAN MAI, Vietnam, 17 Dis – Tentera Vietnam sedang bersedia untuk menghadapi konflik dengan China tatkala ia menyegerakan kempen pemodenan berusia satu dekad, kempen pembinaan senjata terbesar Hanoi sejak kemuncak Perang Vietnam.

Matlamat Parti Komunis adalah menghalang negara jiran tatkala ketegangan meningkat berhubung Laut China Selatan, untuk mempertahankan dirinya dari semua hala, beritahu pegawai kanan kepada Reuters.

Strategi Vietnam membabitkan perancangan luar jangka. Unit utama telah diletak pada “kesediaan tinggi” – satu tahap berjaga-jaga untuk menangkis serangan mendadak – termasuk Divisyen 308 elit yang mengawal kawasan pergunungan di utara.

Kedua-dua negara bertempur dalam perang sempadan pada 1979. Kawasan bergolak yang mungkin pada kali ini adalah di Laut China Selatan, di mana mereka mempunyai tuntutan bersaingan di gugusan kepulauan Spratly dan Paracel.

“Kami tidak mahu mempunyai konflik dengan China dan kami mesti menaruh kepercayaan dalam dasar diplomasi kami,” beritahu seorang pegawai kanan kerajaan Vietnam, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, kepada Reuters. “Namun kami tahu kami mesti bersedia untuk menghadapi kemungkinan paling teruk.”

Lebih penting lagi, Hanoi sedang mewujudkan satu penghalang tentera laut dengan pembelian enam kapal selam kelas Kilo dari Rusia. Dalam beberapa bulan ini, kapal selam pertama telahpun mula meronda Laut China Selatan, kata pegawai Vietnam dan tentera asing, pengesahan pertama bahawa kapal berkenaan telah berada di jalan air strategik itu. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA