Vietnam siasat jutaan ikan mati

Vietnam siasat jutaan ikan mati

HANOI, 21 April – Vietnam hari ini mengatakan ia sedang menyiasat sama ada pencemaran menjadi punca bagi siri misteri kematian ikan yang banyak di sepanjang pantai tengah negara itu selepas sejumlah besar hidupan marin dihanyutkan ke darat beberapa hari kebelakangan.

Bertantan ikan, termasuk spesies luar biasa yang hidup jauh di luar pesisir dan lautan dalam, telah ditemui di pantai sepanjang wilayah Ha Tinh, Quang Tri, Quang Binh dan Hue, tepian pantai tengah negara itu.

“Kami tidak pernah melihat sesuatu seperti ini,” kata pegawai akuakultur Nhu Van Can memberitahu AFP hari ini.

Situasi ganjil itu muncul apabila ternakan ikan di kawasan itu mula mati dalam jumlah yang banyak, ujarnya, dengan penduduk tempatan kemudian menemui sejumlah besar ikan mati di pantai.

Para nelayan tempatan memberitahu media kerajaan bahawa mereka menguburkan beratus-ratus kilogram ikan setiap hari.

Seorang penduduk menunjukkan bangkai ikan yang dikutipnya di sebuah pantai di daerah Phu Loc, wilayah tengah Thua Thien Hue pada 21 April. – AFP
Seorang penduduk menunjukkan bangkai ikan yang dikutipnya di sebuah pantai di daerah Phu Loc, wilayah tengah Thua Thien Hue pada 21 April. – AFP

“Jika anda berada tiga batu di luar pesisir, anda boleh melihat bangkai ikan di seluruh dasar lautan,” akhbar kerajaan Tuoi Tre memetik nelayan tempatan sebagai berkata.

Terdapat petanda yang ikan kemungkinan telah diracun oleh ‘bahan tidak dikenal pasti’, kata Tran Dinh Du, timbalan pengarah pertanian di wilayah Quang Binh, berdasarkan laporan itu.

“Kami telah meminta orang ramai untuk tidak memakan ikan itu dan tidak menggunakannya sebagai makanan bagi ternakan mereka,” tambah Du.

Rangkaian berita kerajaan, Thanh Nien memetik para penduduk yang bimbang tidak berani untuk makan sebarang bangkai ikan yang dihanyutkan itu, menambah dalam laporan mereka bahawa ‘semua petanda-petanda itu menunjukkan kepada bencana alam sekitar’.– AFP