Vietnam tegur Beijing kali kedua

Vietnam tegur Beijing kali kedua

HANOI, 8 Jan (AFP) – Vietnam telah mengeluarkan teguran keduanya dalam seminggu kepada Beijing, menuduh negara jiran utaranya sebagai ‘mengancam keamanan’ selepas lebih banyak pesawat udara China mendarat di terumbu yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Media negeri China berkata pada Rabu dua kapal terbang awam mendarat di salah sebuah pulau di terumbu Fiery Cross di Pulau Spratly, yang dituntut oleh Hanoi tetapi dikawal oleh Beijing.

Pendaratan adalah “satu pencabulan serius kedaulatan Vietnam dan menggugat keamanan dan kestabilan di rantau,” kata jurucakap kementerian luar Le Hai Binh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis lalu.

Dua ‘penerbangan ujian’ pada Rabu disusuli oleh pendaratan pesawat udara pada Sabtu, yang mencetuskan aduan diplomatik formal pertama dari Hanoi.

Kapal terbang berlepas dari dan pulang ke bandar Haikou, ibu negeri wilayah pulau selatan Hainan – perjalanan dua jam setiap hala.

Penerbangan menimbulkan kebimbangan di rantau dan menerima kritikan dari Amerika Syarikat, dengan Pentagon mengingatkan semalam bahawa tindakan tersebut akan menambah ketegangan di perairan yang dipertikaikan.

Filipina juga berkata ia akan memfailkan satu bantahan.

Binh berkata Vietnam telah meminta China “supaya menamatkan tindakan yang sama yang merumitkan lagi perbalahan.”

China menuntut hampir kesemua Laut China Selatan, sementara Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan juga mempunyai sebahagian daripada tuntutan.

ARTIKEL YANG SAMA