Vietnam tuduh China serang nelayan

Vietnam tuduh China serang nelayan

HANOI, Vietnam, 17 Jun (Agensi) – Seorang pegawai Vietnam hari ini menuduh China menyerang nelayannya dalam tiga kejadian berasingan sejak seminggu lalu di Laut China Selatan.

Nguyen Thanh Hung, ketua kesatuan industri perikanan di kampung Binh Chau di tengah wilayah Quang Ngai di mana nelayan berasal, berkata sebuah kapal pukat tunda Vietnam dengan 12 krew dipintas oleh sebuah kapal tentera China ketika menangkap ikan berhampiran pulau Paracel baru-baru ini. Beliau berkata tentera China merampas hasil tangkapan mereka dan peralatan menangkap ikan.

Hung berkata ia menyusuli kejadian pada minggu lalu di mana kapal tentera China menggunakan penyembur air untuk mengusir sebuah bot perikanan Vietnam, mencederakan dua nelayan, sementara sebuah lagi bot perikanan Vietnam dipintas dan dirompak hasil tangkapan dan peralatan mereka ketika mereka menangkap ikan berhampiran Paracels.

“Saya membantah tindakan China,” kata Hung menerusi telefon dari wilayah Quang Ngai. “Ia adalah kawasan perikanan tradisi kami, ia terletak dalam kedaulatan Vietnam dan nelayan kami telah pun menangkap ikan di sana segenerasi lamanya.”

Kejadian tersebut berlaku tatkala menteri luar Vietnam, Pham Binh Minh, yang juga timbalan perdana menteri, memulakan lawatan tiga hari ke China hari ini untuk berunding mengenai kerjasama dua hala, dengan keadaan di Laut China Selatan dijangka dimasukkan dalam agenda perbincangan.

Vietnam menuntut kedaulatan di Paracel, yang dihuni oleh China selepas ia mengusir tentera laut Vietnam Selatan pada 1974, setahun sebelum berakhirnya Perang Vietnam.

Kedua-dua negara jiran komunis itu bersama Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan menuntut sebahagian atau keseluruhan kawasan Laut China Selatan.

Projek penebusgunaan tanah oleh China di pulau Spratly sejak dua tahun lalu telah membimbangkan jirannya dan Amerika Syarikat.