Vietnam tumpas sindiket perjudian AS$13 juta

HANOI, 11 Jan – Polis Vietnam telah menumpaskan sindiket perjudian online (dalam talian) sekitar AS$13 juta, memberkas enam orang dalam tangkapan terbaru di negara yang di mana pertaruhan adalah ditegah.

Perjudian adalah haram di Vietnam selain syarikat loteri milik kerajaan dan beberapa kasino asing.

Namun undang-undang itu secara meluasnya dilanggar, terutamanya semasa menjelang acara sukan besar apabila ramai pelanggan atau orang berjudi beralih ke sarang perjudian haram atau meletakkan taruhan dalam talian.

Lima orang telah ditangkap di Ho Chi Minh City dan seorang telah ditahan di Hanoi kelmarin, kata pegawai polis kepada AFP, meminta tidak dinamakan.

Menurut akhbar rasmi polis, Cong An Nhan Dan, geng berkenaan adalah dalang dalam laman web pertaruhan yang dilancarkan pada 2015 dan dijalankan oleh sebuah firma di Filipina.

“Jumlah keseluruhan transaksi dari tahun 2015 hingga sekarang mencecah lebih AS$13 juta,” menurut laporan, memetik statistik polis.

Laman web itu membenarkan penjudi untuk memindahkan wang menerusi pemindahan wang di bank atau ATM dan meletakkan taruhan menggunakan mata wang digital ke atas perlawanan bola sepak dan tenis, permainan kasino dalam talian dan loteri, menurut laporan tersebut.

“Beberapa suspek mengakui….telah menganjurkan dan menyertai perjudian dalam talian,” tambahnya. Mereka berdepan kira-kira 10 tahun penjara di bawah kod jenayah Vietnam. – AFP