Villa intai David Moyes

Villa intai David Moyes

LONDON, 27 Okt (Agensi) – Bekas jurulatih Manchester United dan Everton, David Moyes berpotensi kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris selepas menarik minat Aston Villa yang bertindak memecat pengurus mereka, Tim Sherwood kelmarin.

Selain Moyes, turut menjadi calon untuk mengisi kerusi panas jurulatih The Villans adalah bekas pengurus Lyon yang pernah menyarung jersi Arsenal, Remi Garde.

Moyes, 52, kini mengharungi musim yang tidak menggembirakan bersama Real Sociedad dalam Liga Sepanyol dan menjadi sasaran kemarahan penyokong selepas kelab itu menghuni tempat ke-14 liga.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Scotland itu, yang merupakan calon popular untuk menggantikan Sherwood meredakan tekanan selepas membantu Sociedad membelasah Levante 4-0 kelmarin.

Sementara itu, Garde juga berada dalam pertimbangan ekoran pemecatan Sherwood, yang baru membimbing Villa dalam 23 perlawanan.

Moyes antara nama-nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Sherwood di Aston Villa. – Reuters
Moyes antara nama-nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Sherwood di Aston Villa. – Reuters

Menurut media Perancis, Garde yang menjadi pengulas televisyen sejak meninggalkan Lyon tahun lalu sudahpun mengadakan rundingan dengan beberapa pegawai Villa.

Villa memiliki ramai pemain muda dari Perancis yang dibawa masuk pada musim panas ini, dan itu antara faktor utama mengapa mereka mempertimbangkan Garde untuk mengisi kekosongan pengurus.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Villa kini menduduki anak tangga terbawah Liga Perdana dengan sekadar mengutip empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan lapan kekalahan.

Sherwood dikatakan amat kecewa dengan sistem pemilihan pemain yang dipraktikan oleh Villa kerana kuasa memilih pemain ditentukan oleh Pengarah Bola Sepak kelab, Hendrik Almstadt.

Malah, ada dakwaan mengatakan, Sherwood tetap akan meninggalkan Villa sekalipun berjaya mencatat keputusan yang bagus kerana dia terlalu kecewa diberikan pemain yang bukan pilihannya, sedangkan dia dipertanggungjawabkan atas semua keputusan yang dicatat.

Bekas bintang Tottenham dan Blackburn itu dikatakan sudah bersetuju untuk menerima jawatan pengurus kelab Liga Satu England, Swindon.