Villar diminta beri penjelasan

Villar diminta beri penjelasan

MADRID, 14 Okt – Para pegawai sukan paling kanan kerajaan Sepanyol menggesa agar presiden persatuan bola sepak negara itu (RFEF) Angel Maria Villar supaya memberikan penjelasan berhubung sama ada beliau menyedari sebarang salah laku dalam badan induk bola sepak dunia FIFA.

Villar adalah naib presiden FIFA dan sudah menjadi anggota jawatankuasa eksekutif badan itu sejak 1998 lagi. Beliau juga naib presiden badan induk bola sepak Eropah (UEFA) serta menyertai jawatankuasa eksekutifnya pada 1992.

Bekas pemain Athletic Bilbao dan Sepanyol berusia 65 tahun itu dilihat sebagai rapat dengan presiden FIFA Sepp Blatter, yang kini sedang disiasat oleh para pegawai penyiasat Switzerland dan Amerika Syarikat berhubung dakwaan skandal rasuah.

Kedua-dua Blatter dan rakannya dari UEFA Michel Platini, seorang warga Perancis, dikenakan pengharaman 90 hari oleh Jawatankuasa Etika FIFA.

Penggantungan itu berikutan laporan mengenai pembayaran kira-kira AS$2 juta dari FIFA kepada Platini pada 2011, sembilan tahun selepas beliau menyelesaikan tugas sebagai penasihat kepada Blatter. Blatter dan Platini menafikan sebarang salah laku.

Angel Maria Villar. – AFP
Angel Maria Villar. – AFP

Miguel Cardenal, presiden majlis sukan Sepanyol (CSD), memberitahu badan penyiaran Sepanyol, Telemadrid semalam bahawa Villar perlu menjelaskan perkara sebenar yang mungkin diketahuinya.

“Ia sesuatu yang beliau perlu jelaskan sendiri, tiada sesiapa yang boleh memberikan pandangan atas nama beliau,” kata Cardenal apabila ditanya jika Villar menyedari sebarang salah laku di FIFA.
Dan saya fikir ada;ah sesuatu yang bagus jika beliau menjelaskannya.”

Ramai pihak yang mempersoalkan mengenai pendirian Villar, katanya. – Reuters