Villarreal berjaya bangkit

Villarreal berjaya bangkit

MADRID, 7 Dis – Villarreal dan Athletic Bilbao beroleh keputusan berbeza sebelum meneruskan aksi Liga Europa apabila Villarreal bangkit untuk membenam Rayo Vallecano 2-1 dan Bilbao yang terpaksa beraksi 10 pemain terikat tanpa jaringan dengan Malaga.

Villarreal harus berterima kasih kepada dua jaringan babak kedua Cedric Bakambu apabila kebangkitan itu menyaksikan mereka kini hanya terpisah satu mata untuk kembali menghampiri slot ke Liga Juara-Juara.

Namun Jozabed Sanchez terlebih dulu meletakkan Rayo di depan empat minit sebelum rehat babak pertama di Stadium Madrigal sebelum Bakambu menjaringkan dua gol pada minit ke-69 dan 86 untuk menghadiahkan Villarreal kemenangan kedua dalam lapan aksi terakhir liga utama Sepanyol.

Di San Mames, Bilbao diarah beraksi 10 pemain pada minit ke-19 apabila perancang tengah bertahan Mikel San Jose dilayangkan kad merah gara-gara tindakan mengasari penyerang Malaga, Charles.

Bagaimanapun, kelab bermasalah milik hartawan Qatar itu gagal memanfaatkan kelebihan berkenaan untuk menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.

Villarreal kini menghuni tangga kelima selepas mengumpul 24 mata daripada 14 aksi, satu mata di belakang Celta Vigo yang terikat 1-1 di Real Betis semalam.

Bilbao pula memungut 21 mata di kedudukan ketujuh, satu mata di belakang Deportivo La Coruna.

“Kami perlu memenanginya dengan apa cara sekali pun,” kata tonggak tengah Villarreal, Denis Suarez kepada stesen televisyen Sepanyol.

“Ia adalah tiga mata penting selepas kami mencatatkan keputusan sukar dan keputusan ini amat menggembirakan kami,” katanya. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA