Vinales juara MotoGP Britain

Vinales juara MotoGP Britain

SILVERSTONE, United Kingdom, 5 Sept – Penunggang Suzuki, Maverick Vinales menampilkan tunggangan menakjubkan untuk mengesahkan kemenangan pertamanya dalam kelas MotoGP dengan mengungguli Grand Prix (GP) Britain, malam tadi.

Kemenangan pelumba Sepanyol itu di Litar Silverstone turut menghadiahkan kemenangan pertama Suzuki dalam perlumbaan kelas perdana itu sejak pelumba Amerika Syarikat, Kevin Schwantz menjuarainya buat kali terakhir pada 1994.

Pelumba LCR Honda dan harapan tuan rumah, Cal Crutchlow menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala pelumba legenda Itali, Valentino Rossi melengkapkan kedudukan podium.

Crutchlow yang memulakan perlumbaan di petak utama – petak pertama diraih pelumba Britain sejak kali terakhir Barry Sheene melakukannya pada 1977 terpaksa bersaing sengit untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan podium selepas Vinales memintasnya.

Vinales meraikan kemenangannya dalam perlawanan tersebut. – AFP
Vinales meraikan kemenangannya dalam perlawanan tersebut. – AFP

Rossi juga berjaya merapatkan jurangnya di kedudukan dunia dengan Marc Marquez apabila pendahulu kejuaraan itu menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Jaguh Sepanyol yang menunggang jentera Honda itu masih memiliki kelebihan besar 50 mata selepas mengumpul 210 mata daripada 12 pusingan perlumbaan manakala Rossi mengumpul 160 mata.

Perlumbaan bagaimanapun terpaksa dimulakan semula susulan kemalangan besar membabitkan Loris Baz dan Pol Espargaro. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA