Vinales tidak sangka akan menang

Vinales tidak sangka akan menang

LONDON, 6 Sept – Pelumba pasukan Suzuki, Maverick Vinales mengakui tidak pernah menyangka akan memenangi perlumbaan MotoGP musim ini apabila meraih tempat pertama di Litar Silverstone baru-baru ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu iaitu juara dunia Moto3 2013 memberikan kemenangan pertama buat Suzuki dalam edisi Britain dalam kategori ini sejak Kevin Shcwantz pada 1994.

Saingan ke-12 MotoGP musim ini pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain baru-baru ini menyaksikan pelumba itu mencipta kejutan apabila menewaskan semua pencabar lain termasuk penunggang jentera skuad Movistar Yamaha, Valentino Rossi yang sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Pada saingan tersebut, Vinales menjadi pelumba pertama tiba awal di garisan penamat dengan catatan 3.4 saat lebih pantas berbanding penunggang skuad LCR Honda, Cal Crutchlow yang turut mencipta kejutan menamatkan perlumbaan itu di tempat kedua.

“Ini adalah detik terbaik dalam hidup saya yang tidak pernah yakin terhadap peluang dan kemampuan pasukan ini (Suzuki) mendapatkan kejuaraan bagi sesebuah perlumbaan.

Maverick Vinales (tengah) ketika memenangi MotoGP Britain baru-baru ini. – AP
Maverick Vinales (tengah) ketika memenangi MotoGP Britain baru-baru ini. – AP

“Kemenangan ini juga menjadi hadiah terbaik daripada saya untuk pasukan ini,” ujar Vinales yang bakal menyertai skuad Yamaha musim depan.

Ditanya berhubung kemungkinan untuk terus kekal bersama Suzuki selepas berjaya mempamerkan prestasi terbaik ketika menewaskan pelumba-pelumba pilihan utama di Silverstone, Vinales menjelaskan, keputusan tersebut tidak akan berubah.

“Saya tidak akan ubah pendirian. Apabila saya sudah membuat keputusan, saya bersedia melakukannya 100 peratus,” tambah Vinales yang akan bekerjasama dengan Rossi selepas Jorge Lorenzo meninggalkan Yamaha untuk menyertai Ducati pada musim depan. – AFP