Virus malware jangkiti App Store, Apple

Virus malware jangkiti App Store, Apple

BEIJING, 21 Sept (AFP) – Para penggodam telah menjejaskan salah satu aplikasi media sosial yang paling popular di China dalam App Store, Apple, kata firma Internet China, Tencent, selepas puluhan program dilaporkan terjejas dengan pencabulan luar biasa dalam keselamatan gergasi AS.

WeChat, sebuah aplikasi mesej segera yang dibangunkan oleh Tencent, memiliki ratusan juta pengguna di China dan seluruh dunia.

“Kecacatan sekuriti yang disebabkan oleh malware luaran, baru-baru ini telah dikesan menjejaskan pengguna iOS hanya dalam versi WeChat 6.2.5,” kata Tencent dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blog Wechat, menambah kecacatan itu telah diperbaiki.

“Tidak ada laporan kecurian atau kebocoran maklumat pengguna mahupun wang,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada hujung minggu.

iOS adalah sistem pengoperasian yang digunakan oleh Apple seperti peranti iPad dan iPhone.

Memetik firma sekuriti siber yang berpangkalan di AS, Palo Alto Networks, Wall Street Journal mengatakan serangan itu telah menjejaskan lebih daripada tiga puluh aplikasi.

Aplikasi yang dijejaskan oleh malware itu mempunyai kod nama XcodeGhost – boleh memindahkan maklumat mengenai pengguna, melancarkan serangan untuk cuba mencuri kata kunci, dan mengakses maklumat papan keratan, menurutnya.

Firma lain mengatakan aplikasi China yang terjejas termasuk Didi Kuaidi, portal Internet NetEase, dan operator telefon bimbit, China Unicom, di samping banyak lagi yang terjejas.

Apple dilaporkan telah mengatakan bahawa ia maklum mengenai pencabulan sekuriti itu dan bekerjasama dengan para pereka lain untuk membantu memperbaiki aplikasi terjejas itu.