Virus MERS bukan mutan

Virus MERS bukan mutan

SEOUL, Korea Selatan, 7 Jun (NNN-Xinhua) – Tidak ada perubahan yang ditemui dalam virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) di Korea Selatan yang telah pun menjangkiti 50 orang semalam sejak pesakit pertama dilaporkan pada 20 Mei.

Lee Ju-shil, ketua Institut Kesihatan Nasional Korea, memberitahu satu taklimat akhbar semalam bahawa tidak banyak perbezaan yang dikenal pasti dalam susunan gen di antara virus MERS di Korea Selatan dan Timur Tengah. Pusat penyelidikan di bawah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (CDC) memisahkan satu virus daripada kahak pesakit Korea Selatan kedua untuk membandingkannya dengan virus Timur Tengah dalam penyenaraian urutan.

Sampel tersebut dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, institut virus Korea Selatan dan institut penyelidikan di Belanda untuk menganalisis bersama virus tersebut.

Sampel itu hampir serupa dalam susunan gen dengan virus Timur Tengah sebanyak lebih 90 peratus, sekali gus membawa kepada satu kesimpulan bahawa virus Korea Selatan bukan mutan, kata Lee.

Penyebaran MERS yang cepat di Korea Selatan mencetuskan jangkaan bahawa virus tersebut adalah mutan, namun ia terbukti tidak benar.

Sembilan kes baru jangkitan MERS dilaporkan semalam di Korea Selatan. Empat pesakit mati akibat penyakit tersebut sehingga sekarang. Korea Selatan menjadi negara paling banyak dijangkiti MERS di luar Timur Tengah.

ARTIKEL YANG SAMA