Virus Zika belum ancam Olimpik Rio

Virus Zika belum ancam Olimpik Rio

BERLIN, 11 Feb – Penularan virus Zika di Brazil perlu dipantau, namun ia masih belum menjadi ancaman kepada Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, kata ketua Doktor Olimpik Jerman, hari ini.

Doktor daripada Konfederasi Sukan Olimpik Jerman, Bernd Wolfarth memberitahu Reuters, ia bergantung kepada pilihan atlet sendiri untuk menyertainya atau pun tidak.

“Selain daripada atlet boleh membuat keputusan untuk menyertai kejohanan ini atau tidak, mereka juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan virus terbabit,” katanya.

Virus yang disebarkan menerusi nyamuk dan tersebar luas di Brazil serta dikaitkan dengan kecacatan kepada bayi yang baru dilahirkan itu menimbulkan kebimbangan di kalangan atlet dan juga pegawai yang bakal menyertai temasya terulung itu, Ogos depan.

Kenya menimbulkan kekecohan semalam selepas pengerusi jawatankuasa Olimpiknya memaklumkan mereka berkemungkinan akan menarik diri daripada temasya itu disebabkan Zika, namun pihak berkuasa menyatakan masih terlalu awal untuk mengetahui impak sebenar virus berkenaan.

Toni Minichiello yang juga jurulatih kepada juara heptathlon, Jessica-Ennis Hill mendesak Britain supaya menyediakan kem persiapan mereka di luar Brazil sambil mencadangkan Jessica supaya tidak menyertai temasya itu.

Buat masa ini, tiada vaksin mahupun ubatan untuk Zika, namun langkah untuk mengawal penularan virus ini adalah membasmi nyamuk selain mencegah gigitan serangga itu.

Dalam perkembangan lain di Brisbane, pasukan perubatan Australia berkata kualiti air di Rio de Janeiro akan menjadi ancaman terbesar kepada atlet dan pegawai rasmi Sukan Olimpik 2016 berbanding virus Zika. Dr. David Hughes, berkata berdasarkan kes kehamilan Zika hanya menyebabkan jangkitan yang ringan, dan 80 peratus individu yang dijangkiti virus terbabit tidak menunjukkan gejala yang serius.

Virus Zika, bagaimanapun, disyaki menyebabkan kecacatan kelahiran dikenali mikrosefali, atau bayi dilahirkan kepala kecil dan wanita hamil disarankan untuk mengelakkan perjalanan ke kawasan yang terjejas. Dalam perbualan telefon dengan The Associated Press hari ini, Hughes berkata keadaan air yang tercemar di Teluk Guanabara dan venue akuatik untuk acara Olimpik adalah ancaman yang harus ditangani tuan rumah. – Reuters