Virus Zika bimbangkan atlet

Virus Zika bimbangkan atlet

LOS ANGELES, 9 Feb – Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) menganggap laporan bahawa pihaknya tidak menggalakkan atlet negara itu mengambil bahagian atau berlatih di Amerika Latin susulan penularan virus Zika sebagai tidak tepat.

“Laporan bahawa USOC mengeluarkan nasihat kepada atlet AS untuk tidak bertanding di temasya Olimpik Rio 100 peratus tidak betul,’’ kata jurucakapnya, Patrick Sandusky menerusi kenyataan, sebentar tadi.

“Pasukan AS sedang bersiap ke temasya itu dan tidak akan melarang atlet kami mengambil bahagian jika mereka sudah layak,” katanya.

Sandusky berkata, pihak USOC sudah mengadakan perbincangan dalaman bersama pemimpin sukan peringkat kebangsaan serta pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Wabak (CDC) mengenai risiko dijangkiti virus Zika membabitkan kawasan tertentu di wilayah Amerika Selatan.

Virus berkenaan yang disebarkan menerusi nyamuk aedes kini sedang merebak di benua Amerika.

 (Dari kiri ) Setiausaha Kesihatan Rio de Janeiro, Daniel Soranz, Pengarah Jawatankuasa Penganjur Rio 2016 Perkhidmatan Perubatan, Joao Grangeiro dan Penolong Setiausaha Pengawasan dan Kesihatan Rio de Janeiro, Alexandre Chieppe ketika menghadiri taklimat media di Rio de Janeiro bagi perbincangan mengenai penyebaran virus Zika di Brazil. - Reuters
(Dari kiri ) Setiausaha Kesihatan Rio de Janeiro, Daniel Soranz, Pengarah Jawatankuasa Penganjur Rio 2016 Perkhidmatan Perubatan, Joao Grangeiro dan Penolong Setiausaha Pengawasan dan Kesihatan Rio de Janeiro, Alexandre Chieppe ketika menghadiri taklimat media di Rio de Janeiro bagi perbincangan mengenai penyebaran virus Zika di Brazil. – Reuters

Mangsa yang dijangkiti, khususnya wanita hamil dilaporkan mendapat zuriat yang tidak normal membabitkan pengecutan saiz kepala dan otak.

Dalam satu kes di Dallas, Texas, penyakit berkenaan juga didapati boleh merebak menerusi hubungan seks.

Brazil yang akan menganjurkan Sukan Olimpik Ogos ini sudah mengeluarkan amaran peringkat kebangsaan melarang wanitanya yang hamil daripada menyaksikan temasya berkenaan.

Namun, penganjurnya mengakui musim penetasan nyamuk aedes akan berakhir sebelum temasya bermula pada 5 Ogos nanti, sekali gus menolak kemungkinan Olimpik Rio diancam wabak berkenaan.

Walau bagaimanapun, Kenya berkemungkinan besar akan menarik diri daripada menyertai Sukan Olimpik tahun ini susulan kebimbangan mengenai penularan virus Zika yang melanda Brazil ketika ini, kata Ketua Jawatankuasa Olimpik Kenya, Kipchoge Keino, hari ini.

Kenya memiliki pelari jarak sederhana dan jauh terbaik di dunia. Negara Afrika Timur itu mendahului carta pungutan pingat pada Kejohanan Olahraga Dunia 2015.

“Sudah pasti kami tidak mahu mengambil risiko dengan membawa atlet Kenya ke sana jika virus Zika ini mencapai tahap yang membimbangkan,” kata Keino. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA