Virus Zika jangka merebak seluruh Amerika

Virus Zika jangka merebak seluruh Amerika

GENEVA/LONDON, 26 Jan – Virus Zika bawaan nyamuk, yang telah dikaitkan dengan kerosakan otak dalam beribu-ribu anak damit di Brazil, kemungkinan besar akan merebak ke semua negara di Amerika kecuali Kanada dan Chile, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam.

Penyebaran Zika masih belum dilaporkan di benua Amerika Syarikat, walaupun seorang wanita yang jatuh sakit akibat virus itu di Brazil melahirkan seorang anak damit yang mengalami kerosakan otak di Hawaii.

Kementerian Kesihatan Brazil berkata pada November bahawa Zika dikaitkan dengan kecacatan janin dikenali sebagai microcephaly, di mana anak damit dilahir dengan otak yang lebih kecil daripada biasa.

Brazil telah melaporkan 3,893 kes microcephaly, kata WHO pada Jumaat lalu, lebih 30 kali lebih tinggi daripada mana-mana tahun sejak 2010 dan bersamaan dengan 1-2 peratus daripada kesemua anak damit yang baru lahir di negeri Pernambuco, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas.

Wabak Zika menyusuli wabak Ebola di Afrika Barat, menunjukkan sekali lagi bagaimana penyakit yang tidak difahami itu boleh merebak dengan pesat dan muncul sebagai ancaman global.

Transmisi electron mikrograf (TEM) menunjukkan virus Zika. – Reuters
Transmisi electron mikrograf (TEM) menunjukkan virus Zika. – Reuters

“Kami tidak mempunyai ubat dan kami tidak mempunyai vaksin. Ia adalah kes déjà vu disebabkan itulah yang dikatakan oleh kami mengenai Ebola,” kata Trudie Lang, profesor kesihatan global di Universiti Oxford. “Adalah benar-benar penting untuk menghasilkan satu vaksin secepat mungkin.”

Pelaburan pengeluar ubat yang besar dalam vaksin penyakit tropika dengan prospek komersial yang tidak pasti setakat ini adalah samar-samar, mendorong pakar kesihatan meminta sistem insentif baru diperkenalkan selepas pengalaman Ebola.

Institut Butantan di Sao Paulo sedang memimpin penyelidikan mengenai Zika dan berkata pada minggu lalu ia merancang menghasilkan satu vaksin ‘dalam masa rekod,’ walaupun pengarahnya mengingatkan ia masih mungkin mengambil masa tiga hingga lima tahun. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA