Virus Zika mampu hidup dalam mata – kajian

Virus Zika mampu hidup dalam mata – kajian

WASHINGTON, 7 Sept – Virus Zika mampu hidup dalam mata, kata penyelidik semalam, selepas melakukan uji kaji ke atas tikus yang menjelaskan mengapa sebahagian pesakit menghidap penyakit okular dan dalam sesetengah kes menjadi buta.

Kajian itu, yang disiarkan dalam jurnal Cell Reports, mengkaji kes jangkitan virus Zika pada mata janin, anak tikus baru lahir dan tikus dewasa.

“Penyelidikan menunjukkan mata boleh menjadi takungan bagi virus Zika,” kata Michael Diamond, seorang profesor Sekolah Perubatan Universiti Washington di St.Louis .

“Kita perlu mempertimbangkan sama ada penghidap Zika ada virus jangkitan pada mata dan berapa lama ia bertahan,” beliau menambah, dan menyatakan pesakit boleh menyebarkan jangkitan menerusi air mata.

Penyelidik bercadang memperluaskan kajian untuk memasukkan manusia yang dijangkiti dengan virus berkenaan.

Gambar fail bertarikh 27 Januari 2016 menunjukkan nyamuk Aedes aegypti yang dikenali menyebarkan virus Zika, dilihat melalui mikroskop di Institut Fiocruz di Recife, negeri Pernambuco, Brazil. - AP
Gambar fail bertarikh 27 Januari 2016 menunjukkan nyamuk Aedes aegypti yang dikenali menyebarkan virus Zika, dilihat melalui mikroskop di Institut Fiocruz di Recife, negeri Pernambuco, Brazil. – AP

Zika cuma menyebabkan gejala ringan seperti demam dan ruam bagi kebanyakan mangsa tetapi wanita hamil yang dijangkiti boleh melahirkan anak damit dengan mikrosefali, iaitu otak dan kepala lebih kecil berbanding biasanya.

Satu pertiga anak damit dijangkiti Zika dalam rahim mempunyai penyakit mata seperti bengkak saraf optik, kerosakan retina atau buta, kata penyelidik.

Pada orang dewasa, Zika boleh menyebabkan konjuktiviti, juga dikenali sebagai mata merah jambu, dan dalam sesetengah kes uveitis, keadaan menyebabkan ada bahagian mata menjadi bengkak. Ia boleh membawa kepada kehilangan penglihatan kekal.

Dalam mengadakan kajian, penyelidik menjangkitkan tikus di bawah kulit, sama seperti manusia digigit nyamuk. Mereka mendapati virus Zika berada dalam mata haiwan berkenaan tujuh hari kemudian.

Jangkitan dalam mata bermakna tidak mustahil manusia boleh dijangkiti Zika dengan menyentuh air mata yang tercemar. – AFP