Visi jadikan Pelabuhan Muara bertaraf dunia

Visi jadikan Pelabuhan Muara bertaraf dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Syarikat pelabuhan global, International Container Terminal Services, Inc. (ICTSI) melahirkan keyakinan ia mampu membangunkan Pelabuhan Muara menjadi laluan bertaraf dunia, mencontohi kejayaan 30 pelabuhan yang dikendalikannya di seluruh dunia.

ICTSI dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan berdasarkan rekod cemerlangnya dalam mengoperasi pelabuhan, ia bakal mencadangkan satu konsesi panjang dengan kerajaan Brunei bagi memajukan pelabuhan itu.

Rekod cemerlang dicapai apabila syarikat induknya, Syarikat New Muara Container Terminal Services (NMCTS) baru-baru ini menerima Anugerah Majikan Terbaik di Asia melalui Anugerah Jenama Majikan Asia Terbaik ke-7 yang berlangsung di Singapura.

“Berdasarkan kepakaran global dan amalan perniagaan baik, serta sokongan padu institusi kewangan antarabangsa, kami yakin dapat membangunkan kemudahan pelabuhan bertaraf dunia di Brunei,” kata Naib Presiden Kanan dan Ketua ICTSI bagi Rantau Asia Pasifik, Christian Gonzalez.

ICTSI melalui NMCTS telah beroperasi di Pelabuhan Muara mengendalikan Terminal Kontena Muara semenjak lapan tahun lalu di bawah kepimpinan pengurus-pengurus yang sangat berpengalaman bersama kakitangan NMCTS yang mana 85 peratus mereka terdiri daripada rakyat tempatan.

Kenyataan itu dikeluarkan menjelang lawatan Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte ke Negara Brunei Darussalam bermula 16-18 Oktober ini yang dijangka mengukuhkan hubungan diplomatik dan perdagangan antara kedua-dua buah negara.

Pada lawatan itu, Presiden Duterte dijangka mengadakan mesyuarat dua hala bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menteri-menteri kabinet.

Beliau juga dijangka beramah mesra bersama rakyat dan warganegara Filipina yang berpangkalan di Brunei.

“Kami berharap lawatan rasmi ini akan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua buah negara membangunkan Kawasan Pertumbuhan ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“ICTSI komited sepenuhnya untuk menjadi rakan aktif dan memacu kedua-dua buah negara ke arah pertumbuhan ekonomi terutamanya melalui pelaburan kukuh dalam pengurusan pelabuhan dan pembangunan,” kata Gonzalez.