Volkswagen AG disiasat

Volkswagen AG disiasat

SEOUL/NEW YORK, 22 Sept (Reuters) – Skandal yang menyelubungi Volkswagen AG, yang telah mengaku menipu ujian pengeluaran kenderaan diesel di Amerika Syarikat, tersebar ke timur hari ini tatkala Korea Selatan berkata ia akan menjalankan siasatannya sendiri dan menteri Perancis menggesa bagi siasatan menyeluruh Kesatuan Eropah (EU).

Saham Volkswagen merosot sebanyak 19 peratus semalam selepas Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) berkata pada Jumaat pengeluar kereta terbesar dunia berdasarkan jualan itu menggunakan perisian yang memperdaya pengawal yang mengukur pengeluaran toksik dan mungkin berdepan denda sehingga $18 bilion.

Laporan media berkata Jabatan Keadilan AS telah memulakan siasatan jenayah dalam dakwaan tersebut, yang merangkumi beberapa model diesel VW dan jenama Audi termasuk Audi A3, VW Jetta, Beetle, Golf dan Passat.

Siasatan Korea Selatan akan membabitkan 4,000 hingga 5,000 kenderaan Jeta, Golf dan A3 yang dikeluarkan pada tahun 2014 dan 2015, beritahu Park Pan-kyu, penolong pengarah di kementerian alam sekitar Korea Selatan, kepada Reuters.

Kementerian akan menimbang menarik balik kenderaan berkenaan selepas menjalankan siasatan, kata beliau.

Martin Winterkorn, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pembuat kereta Volkswagen, Jerman (kanan) bersama rakan niaganya pembuat kereta sport Porsche juga dari Jerman, Matthias Mueller, bergambar di hadapan kereta Porsche Boxter di kilang Volkswagen di Osnabrueck, Kerman pada 19 September 2012. – Reuters
Martin Winterkorn, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pembuat kereta Volkswagen, Jerman (kanan) bersama rakan niaganya pembuat kereta sport Porsche juga dari Jerman, Matthias Mueller, bergambar di hadapan kereta Porsche Boxter di kilang Volkswagen di Osnabrueck, Kerman pada 19 September 2012. – Reuters

“Jika pihak berkuasa Korea Selatan menemui masalah dalam kereta diesel VW, siasatan akan dilanjutkan kepada semua kereta diesel Jerman,” kata beliau.

Satu jawatankuasa lembaga penyeliaan Volkswagen dijangka akan bertemu esok (Rabu) untuk membincangkan krisis tersebut.

Lembaga penuh dijangka akan bertemu pada Jumaat untuk melanjutkan kontrak Ketua Eksekutif, Martin Winterkorn sehingga akhir 2018.

Pesaing Jerman Daimler dan BMW berkata tuduhan ke atas VW tidak ada kaitan dengan mereka.

Suruhanjaya Eropah berkata ia sedang berhubung dengan VW dan pengatur AS, namun masih terlalu awal untuk berkata sama ada kenderaan VW di Eropah juga terjejas.

Seorang jurucakap VW di Australia berkata syarikat telah menghubungi ibu pejabatnya di Jerman meminta nasihat mengenai cara-cara untuk meneruskannya dan sama ada ia menjangka kereta yang dijual di Australia akan terjejas.

Jabatan Infrastruktur (DOI) Australia, kementerian kerajaan yang bertanggungjawab dalam perkara itu, berkata ia sedang mengawasi perkembangan.

“Jabatan berusaha mendapatkan penjelasan daripada Kumpulan Volkswagen Australia, sama ada kenderaan yang dibekal ke pasaran Australia menggunakan perisian yang sama yang digunakan di AS,” kata DOI dalam satu e-mel.