VW akan mula jadual syif pekerja

VW akan mula jadual syif pekerja

BERLIN, 20 Dis (AFP) – Syarikat pembuat kereta Jerman, Volkswagen yang bergelut untuk menangani skandal penipuan ujian pencemaran, mengatakan hari ini, ia akan mula membuat jadual syif dengan menggilirkan kakitangan bagi memastikan perjalanan operasi lebih baik.

Para pekerja dalam peranan penting akan sering menukar kerja-kerja mereka daripada biasanya, kata ketua lembaga penyeliaan VW, Hans Dieter Poetsch dalam temu bual bersama akhbar Welt am Sonntag.

“Pekerja relevan akan hanya tetap pada jumlah masa tertentu dalam kerja spesifik dan kemudian akan berubah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Menurutnya lagi, pelan kakitangan baru itu adalah bertujuan untuk memecahkan struktur yang lama berlarutan yang memberi kesempatan peraturan itu dilanggar secara diam-diam.

Poetsch mengatakan skim itu akan diperkenalkan bersama mekanisme pengawasan baru.

“Kami akan memperkukuhkan pemeriksaan, memastikan kebertanggungjawaban dalam cara lebih jelas dan mengimplementasikan prosedur penyeliaan teknikal yang lebih bagus,” katanya

Tambah Poetsch lagi, ‘dasar empat mata’ ke atas sekurang-kurangnya dua orang yang terlibat dalam kerja penting akan menjadi kata rahsia syarikat.

Dia mengakui bahawa giliran kerja bagi sesetengah kedudukan yang sangat khusus juga mungkin akan berdepan cabaran.

Namun katanya kerja sebegitu boleh dipenuhi dalam kumpulan Volkswagen, dengan pertukaran orang, contohnya, dari Audi ke Porsche kepada bahagian pengilangan VW.

Volkswagen terlibat dalam skandal paling hangat pada September, apabila ia dipaksa untuk mengakui ia telah memasang perisian penipuan emisi ke atas 11 juta kenderaan enjin diesel di seluruh dunia.

VW didapati telah menggunakan alat yang digelar ‘peranti gagal’ yang mengaktifkan kawalan emisi semasa ujian, kemudian menutupnya di bawah operasi biasa, mengakibatkan sejumlah nitrogen oksida yang tidak dibenarkan, dilepaskan ke udara.