VW akui 1.8 juta kereta terbabit

VW akui 1.8 juta kereta terbabit

BUDAPEST/FRANKFURT, 29 Sept (AFP/Reuters) – Kira-kira dua juta daripada 11 juta enjin diesel yang terlibat dalam skandal pencemaran Volkswagen dihasilkan di sebuah kilang Audi di barat Hungary, beritahu Menteri Ekonomi Mihaly Varga kepada penyiar swasta TV2 hari ini.

Varga juga berkata kerajaan sedang berunding dengan Audi serta jenama premium pesaing Jerman Daimler Mercedes, yang juga mempunyai kilang besar di Hungary, untuk menilai kesan berpotensi ke atas ekonomi tempatan.

“Saya pasti ia akan menjejaskan pengeluaran kereta Hungary dan industri kereta tempatan, tetapi saya berharap kesan sampingan adalah lebih kecil daripada apa yang dibayangkan oleh senario teruk,” tambah beliau.

Menteri sebelumnya berkata ekonomi Hungary mungkin mencatat kemerosotan pertumbuhan sebanyak 0.3 sehingga 0.6 peratus sekiranya jualan kereta Eropah merosot disebabkan skandal itu.

Varga berkata “buat masa sekarang” Hungary tidak mempunyai rancangan untuk menyekat kereta VW, selepas pengeluar kereta mengakui menggodam keretanya sendiri untuk memperdaya pengatur AS mengenai jumlah pencemaran yang dikeluarkan oleh enjin diesel mereka.

Kereta VW Golf VII (kanan) dan VW Passat ketika dimuatkan dalam menara penghantaran di kilang pembuat kereta Jerman, Volkswagen di Wolfsburg, Jerman dalam gambar fail 3 Mac 2015. – Reuters
Kereta VW Golf VII (kanan) dan VW Passat ketika dimuatkan dalam menara penghantaran di kilang pembuat kereta Jerman, Volkswagen di Wolfsburg, Jerman dalam gambar fail 3 Mac 2015. – Reuters

Kilang Audi di Hungary, terletak di barat bandar Gyor, adalah pembekal utama untuk kumpulan VW.

Kilang itu mengeluarkan 1.97 juta enjin dan 135,232 kereta pada tahun lalu, menurut angka yang disiarkan di laman webnya.

Daimler juga mengendali sebuah kilang Mercedes di Kecskemet di tengah Hungary, yang mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 150,000 kereta.

Pengeluar kereta telah menafikan ia telah memanipulasi data pencemaran.

Sementara itu di Frankfurt, Volkswagen mengatakan hari ini bahawa sekitar 1.8 juta kenderaan komersialnya di seluruh dunia telah dipasang dengan perisian sofistikated yang membolehkannya memperdayakan ujian pengeluaran karbon, ketika ketua baru syarikat auto gergasi itu memberi amaran kumpulan tersebut ‘berdepan ujian ketat dalam sejarahnya’.

Mengesahkan satu laporan akhbar Jerman, jurucakap bahagian kenderaan komersial VW mengatakan daripada 11 juta kenderaan di seluruh dunia hanya ‘1.8 juta kenderaan komersial’ sahaja yang terlibat, menurut kumpulan berkenaan.

Selepas subsidiari VW, Audi dan cawangan Skoda, Czech mengakui bahawa lebih tiga juta kenderaan mereka juga dipasang serupa, unit Seat Sepanyol mengatakan 700,000 kenderaannya juga dilengkapi dengan teknologi berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA