VW dedah pelan pemulihan

VW dedah pelan pemulihan

FRANKFURT, 30 Sept (AFP) – Volkswagen semalam mendedahkan rancangan untuk memulihkan jutaan kenderaan yang terjejas akibat penipuan pencemaran di seluruh dunia, ketika ketua yang baru berjanji akan bertindak dengan kejam untuk mengatasi “ujian berat” dalam sejarah gergasi kereta itu.

Kerajaan Jerman telah memberikan VW sehingga 7 Oktober untuk menjelaskan bagaimana mereka akan menyelesaikan skandal itu, yang telah melenyapkan 29 bilion euro (AS$33 ​​bilion) atau 38 peratus sahamnya di luar nilai pasaran VW dalam 10 hari.

Ketua Eksekutif Matthias Mueller, yang mengemudikan VW pada Jumaat, memberitahu pengurusan kanan bahawa penyelesaian teknikal akan diserahkan bulan ini (Oktober).

Setelah diluluskan oleh pihak berkuasa Jerman, Volkswagen akan memaklumkan kepada pelanggan dan mengatur kereta untuk dibaik pulih, katanya kepada pengurus lewat semalam, menurut kenyataan firma itu.

VW kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan pemilik kereta yang terlibat akan diberitahu “pada minggu dan bulan akan datang” sambil menambah “jenama berkenaan akan mencipta laman web supaya para pelanggan dapat mengikuti perkembangan”.

Jurujual sedang menunggu pelanggan di pusat pengedaran Volkswagen Virginia Utara di Woodbridge, semalam. Saham Wall Street jatuh minggu ini walaupun beberapa data AS bertambah baik gara-gara sentimen ekonomi China yang lembab ditambah lagi dengan skandal pencemaran Volkswagen. – AFP
Jurujual sedang menunggu pelanggan di pusat pengedaran Volkswagen Virginia Utara di Woodbridge, semalam. Saham Wall Street jatuh minggu ini walaupun beberapa data AS bertambah baik gara-gara sentimen ekonomi China yang lembab ditambah lagi dengan skandal pencemaran Volkswagen. – AFP

VW, pembuat kereta terbesar di dunia dari segi jualan, mengakui sehingga 11 juta kereta dieselnya di seluruh dunia dilengkapi peralatan yang boleh menghidupkan kawalan pencemaran apabila mengesan kereta sedang menjalani ujian.

Mereka kemudian mematikan kawalan berkenaan apabila kereta berada di jalan raya, sekali gus membenarkannya memuntahkan tahap pelepasan yang berbahaya.

Mueller menegaskan perisian itu tidak diaktifkan di dalam kesemua 11 juta kenderaan, bagaimanapun, bilangan kenderaan yang memerlukan baik pulih sebenarnya lebih sedikit daripada jumlah itu.

Bagaimanapun, dengan VW menghadapi kos yang tidak terhitung dan potensi gelombang tindakan undang-undang, Mueller menyifatkan krisis itu sebagai “ujian yang berat dalam sejarah VW.”

ARTIKEL YANG SAMA