VW rancang atasi jualan tahun lepas

VW rancang atasi jualan tahun lepas

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) – Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd merancang untuk mengatasi rekod jualan 7,000 unit tahun lepas walaupun jangkaan jumlah volum industri (TIV) yang lebih lemah tahun ini, dirangsang oleh tiga model sedan baharu.

Pengarah Urussan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, pengeluar kereta Jerman itu akan memperkenal dua lagi model di bawah segmen sedan akhir tahun ini.

“Walaupun unjuran TIV yang lebih perlahan, kami berharap untuk mengatasi jualan tahun lepas ketika kami memberi tumpuan ke atas segmen berharga di bawah RM80,000 yang mampu dibeli rakyat Malaysia,” katanya kepada media di sini hari ini selepas melancarkan tawaran terbaru syarikat itu, Volkswagen Vento.

Maybank Investment Bank Research telah mengurangkan ramalan TIV 2016 kepada 620,000 unit daripada 645,000 unit berikutan sentimen pengguna yang lemah serta harga kereta yang lebih tinggi.

Keller berkata, selain Vento serta dua model yang akan dilancar tahun ini, Volkswagen juga akan memperkenal satu lagi model tahun depan dan semuanya akan dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan, Pahang.

Sementara itu, sedan Volkswagen Vento boleh diperoleh dalam tiga varian dan berharga RM79,888 untuk Trendline, RM86,888 bagi Comfortline serta RM93,888 untuk Highline.

Kereta terbabit berwarna Candy White, Flash Red, Reflex Silver, Carbon Steel Grey dan Deep Black.

Model berkenaan paling laris di India, Russia dan Amerika Latin.

ARTIKEL YANG SAMA