Wabak Ebola dihentikan akhir 2015 – PBB

Wabak Ebola dihentikan akhir 2015 – PBB

NEW YORK, 14 Ogos (dpa) – Wabak Ebola yang melanda Afrika Barat mampu dihentikan menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun masyarakat antarabangsa perlu meneruskan usaha memerangi wabak berkenaan, menurut seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Ketika memberikan taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB, Margaret Chan, ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata respons antarabangsa yang kuat kepada wabak itu tahun lepas meletakkan Liberia, Guinea dan Sierra Leone – negara-negara yang dilanda teruk – kini berada di laluannya untuk menamatkan penularan penyakit maut berkenaan.

“Jika kemantapan usaha pengesanan kes yang ada sekarang dikekalkan, virus Ebola mampu ditumpaskan menjelang akhir tahun ini,” kata Chan.

“Ia bermakna menjadi sifar dan terus kekal sifar.”

Namun beliau mengingatkan agar segala usaha pengekangan Ebola yang dijalankan sekarang diteruskan dan malah ditingkatkan lagi.

“Jika hanya dengan satu kes yang gagal dikesan di pusat kesihatan, seorang yang dijangkiti terlepas daripada sistem, atau satu upacara pengebumian yang tidak selamat, ia sudah pastinya akan mencetuskan penularan kes,” kata Chan.

Wabak tersebut, yang bermula pada Mac 2014 dan menjadi yang terbesar sejak virus Ebola ditemui pada 1976, menjangkiti hampir 28,000 orang dan mengorbankan lebih 11,000 orang.

ARTIKEL YANG SAMA