Wabak maut landa kem Rohingya

UKHIA, Bangladesh, 12 Jan – Dalam klinik sementara yang dibuat daripada buluh, kanak-kanak bergelut untuk menarik nafas menerusi topeng pembedahan, mangsa penyakit lama yang membawa maut telah melanda kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

Difteria hampir-hampir dihapuskan di Bangladesh sehingga tahun lalu, apabila lebih daripada 650,000 penduduk Rohingya membanjiri sempadan kerana melarikan diri daripada tindakan keras tentera di Myanmar.

Bersesak-sesak dalam satu kawasan yang dikhaskan untuk jumlah pelarian yang lebih kecil dan tanpa sanitasi atau penjagaan kesihatan, ketibaan baru itu memberikan peluang kepada penyakit pernafasan yang mudah berjangkit untuk merebak.

Ia merebak dengan cepat di seluruh kem, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan lebih daripada 3,600 kes.

Gambar yang diambil pada 10 Januari 2018 menunjukkan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) memeriksa seorang kanak-kanak Rohingya di kem pelarian Thankhali di Bangladesh. – AFP

Wabak tersebut telahpun membunuh sekurang-kurangnya 30 pelarian, kebanyakannya kanak-kanak, manakala beberapa penduduk Bangladesh yang tinggal berhampiran kem juga telah dijangkiti penyakit tersebut.

Carla Pla, ketua jururawat di unit pakar difteria yang dikendalikan oleh badan amal perubatan MSF (Doktor Tanpa Sempadan), berkata kanak-kanak telah tiba dengan gejala “serius.”

“Ia adalah situasi amat mencabar kerana setiap hari semakin ramai kanak-kanak yang datang, dan cabaran untuk mendapatkan vaksin juga merupakan sesuatu yang amat sukar,” beritahunya kepada AFP di unit berkenaan.

Hampir 600 pelarian telahpun dirujuk ke sana sejak ia dibuka pada Disember, sekali gus memberikan tekanan yang besar kepada doktor yang juga bergelut untuk merawat penyakit bawaan air, pemakanan tak seimbang dan penyakit lain dalam kem. – AFP