Wad Kanser terima bantuan

Wad Kanser terima bantuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi juga pihak swasta yang mana sumbangan dihulurkan itu adalah untuk meringankan dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Sehubungan itu, masyarakat Bangladesh di Negara Brunei Darussalam menghulurkan sumbangan derma berupa wang tunai kepada Wad Kanser, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dalam majlis penyampaian derma yang berlangsung di Hospital RIPAS, hari ini.

Hadir menyampaikan sumbangan kepada pihak hospital, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Haji Muhd Jamal bin Haji Tersad ialah wakil masyarakat Bangladesh di Brunei, isteri Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Dr. Tahmina Begum.

Semasa menerima sumbangan itu, Haji Muhd Jamal menyatakan penghargaan kepada masyarakat Bangladesh di Brunei yang berkesudian untuk menghulurkan sumbangan derma berkenaan di mana ia akan digunakan untuk membantu pesakit-pesakit di Wad Kanser yang memerlukan bantuan.

Beliau juga amat mengalu-alukan usaha pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan masyarakat Bangladesh untuk sama-sama membantu meringankan bebanan pesakit yang kurang bernasib baik serta mengalu-alukan lebih banyak pihak untuk tampil ke hadapan bagi sama-sama membantu pesakit-pesakit yang memerlukan itu.

Haji Muhd Jamal menerima sumbangan derma hasil kutipan daripada acara amal, Ceramah Khas Kesedaran Kanser Payudara, yang disampaikan oleh Dr. Tahmina Begum.
Haji Muhd Jamal menerima sumbangan derma hasil kutipan daripada acara amal, Ceramah Khas Kesedaran Kanser Payudara, yang disampaikan oleh Dr. Tahmina Begum.

Sementara itu, Dr. Tahmina Begum berkata, masyarakat Bangladesh di Brunei akan terus mengadakan pelbagai kegiatan dan amal berkebajikan untuk mengutip sumbangan derma yang boleh disumbangkan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Sumbangan itu merupakan hasil kutipan daripada acara amal dalam Ceramah Khas Kesedaran Kanser Payudara yang diadakan pada 22 Oktober 2015 di Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam.

Semasa acara itu, ceramah disampaikan oleh Dr. Tahmina Begum dan juga Pakar Radiologi dari Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), Dr. Shyja yang dihadiri oleh isteri-isteri ketua perwakilan dan diplomat dari negara-negara sahabat yang membuat sumbangan derma kepada tabung amal semasa majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam turut menyatakan penghargaan kepada isteri-isteri ketua perwakilan negara-negara sahabat dan juga wanita masyarakat Bangladesh di Brunei atas sumbangan serta sokongan berterusan mereka kepada tabung amal berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA