WADA ambil pendekatan lebih berhati-hati

WADA ambil pendekatan lebih berhati-hati

LONDON, 20 Okt – Agensi Antidadah Dunia (WADA) mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap cadangan ia seharusnya mengambil alih tanggungjawab bagi ujian dadah daripada persekutuan sukan.

Dalam potensi perubahan besar itu, ketua-ketua Olimpik pada Sabtu lalu bersetuju untuk menjadikan ujian “bebas dari pertubuhan-pertubuhan sukan” dan meminta WADA untuk mengkaji pengambilalihan ujian pada peringkat global.

Cadangan itu, yang dilakukan ketika “Kemuncak Olimpik” yang diadakan di Lausanne, Switzerland, di bawah kepimpinan Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, bertujuan untuk memberikan lebih kebolehpercayaan terhadap ujian dadah dengan menyerahkannya kepada pertubuhan bebas.

Presiden WADA, Craig Reedie memberitahu semalam bahawa dia akan menghantar isu tersebut bagi perbincangan di jawatankuasa eksekutif agensi itu dan mesyuarat lembaga yayasan dari 17-18 November di Colorado Springs, Colorado.

“Saya berada di sana sebagai ahli Jawatankuasa Olimpik, dan meminta jika WADA mempertimbangkan terhadap tanggungjawab itu,” kata Reedie dalam temu bual menerusi telefon. “Saya berkata, Ya, kami akan membawa cadangan itu kepada jawatankuasa eksekutif pada November.”

Reedie, yang juga naib presiden Jawatankuasa Olimpik, berkata dia tidak akan membincangkan baik atau buruk cadangan itu menjelang mesyuarat.

IOC berkata kajian akan dijalankan oleh kumpulan petugas WADA termasuk ketua-ketua Olimpik dan wakil kerajaan. Tiada rangka masa diberikan.

Cadangan itu disuarakan oleh beberapa peserta pada kemuncak tersebut. Ia disusuli dengan cadangan daripada Presiden IAAF yang dilantik baru-baru ini, Sebastian Coe mengenai ideanya bagi pertubuhan bebas untuk menangani ujian dadah dalam acara balapan dan padang.

Meletakkan WADA mengetuai ujian akan mencetuskan beberapa isu logistik dan kewangan bagi agensi yang berpangkalan di Montreal itu, yang ditubuhkan pada 1999 untuk menyelia usaha anti dadah di seluruh dunia.

Dengan bajet sekarang kira-kira AS$26 juta, WADA melantik makmal-makmal bagi menganalisis contoh, menggariskan senarai bahan-bahan terlarang dan memantau Kanun Anti Dadah Dunia. Agensi itu tidak menjalankan ujiannya sendiri.

Menjadikan WADA bertanggungjawab bagi ujian itu akan memerlukan perubahan besar dalam pembiayaan. Wang yang dibelanjakan persekutuan dan pertubuhan lain ke atas ujian akan perlu dipindahkan kepada agensi terbabit.

Di bawah cadangan IOC, sementara ujian itu sendiri ditangani secara bebas, prosedur disiplin dan persetujuan akan dilakukan oleh persekutuan. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA