Wadah menyediakan khidmat keagamaan

Wadah menyediakan khidmat keagamaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Menjadi satu platform bagi orang ramai untuk mencarikan guru-guru yang bertauliah di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dalam mengajar ilmu Al-Quran dan agama secara betul merupakan hasrat salah sebuah syarikat pengurusan keagamaan tempatan di negara ini.

Perkara tersebut ditekankan oleh pemilik Syarikat Al-Huffaz Management, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan yang mana syarikatnya merupakan syarikat pengurusan acara yang memberikan perkhidmatan keagamaan sebagai platform untuk menolong orang ramai berbuat kebajikan.

Syarikat diasaskan bersama Awang Muhd Iman Budiman bin Aspar dan Awang Mohd Nasyith bin Superi sejak 30 April lalu itu menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti Perkhidmatan Membaca Al-Quran Khatam 30 Juzuk; Perkhidmatan Pindah Rumah; Doa Selamat, Tahlil dan Doa Arwah; Mencarikan guru Al-Quran/Muqaddam; Bengkel Hafazan/Kem Hafazan; Mencarikan Kumpulan Tausyeh dan Kelas Al-Quran Dewasa (Lelaki/Perempuan).

Dalam temu bual bersama Media Permata, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim menjelaskan pada ketika ini syarikat berkenaan diuruskan oleh tiga orang dan mempunyai lebih daripada 20 tenaga pengajar di mana setakat ini mereka telah menjalankan pelbagai perkhidmatan seperti perkhidmatan membaca Al-Quran di rumah-rumah, acara pindah rumah dan lain-lain.

“Syarikat kami bertindak sebagai wadah untuk orang ramai yang mencari guru Al-Quran juga untuk membantu anak-anak tempatan untuk mengajarkan ilmu Al-Quran dan agama mereka dengan cara yang betul (bertauliah di bawah MUIB),” katanya.

Haji Mohammad Loqman Al-Hakim dalam temu bual pagi kelmarin.
Haji Mohammad Loqman Al-Hakim dalam temu bual pagi kelmarin.

Tambahnya lagi, guru-guru yang akan mengajar nanti adalah 100 peratus anak tempatan Brunei dan dalam masa terdekat ini juga dijangka akan membukakan kelas Al-Quran dewasa di Daerah Tutong dan Belait. Hasrat menubuhkan syarikat itu merupakan hasil dari beberapa buah fikiran daripada alumni penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) untuk menubuhkan syarikat yang dapat membuat iklan (akhbar) untuk mendedahkan perkhidmatan keagamaan untuk orang ramai.

“Pada mulanya, sememangnya penuntut Tahfiz sejak dari dulu selalu menerima jemputan orang ramai untuk menjalankan khidmat keagamaan di rumah mereka. Dari situlah idea untuk menjadikan ia satu perniagaan sebagai platform untuk menolong orang ramai berbuat kebajikan,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, apa yang menjadikan Al-Huffaz Management begitu unik adalah perkhidmatan yang diberikan, dilaksanakan oleh 100 peratus alumni penuntut ITQSHHB tidak mengira mereka sudah bekerja atau sedang menuntut atau mereka yang ditauliahkan dari pihak MUIB.

Dengan objektifnya untuk melahirkan generasi yang celik Al-Quran dan celik kewangan Islam, syarikat tersebut percaya semua akan fasih Al-Quran dan fasih dalam kewangan Islam seperti yang dinyatakan dalam slogannya.

Di samping itu, sebagai perancangan masa akan datang syarikat tersebut akan bekerjasama dengan pihak BIBD (Financial Literacy), UNISSA (Islamic Finance) dan akan mengadakan perkhemahan hafazan Al-Quran dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.

ARTIKEL YANG SAMA