Wadah perbincangan intelektual dunia Islam

Wadah perbincangan intelektual dunia Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Seramai 11 orang tenaga akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menghadiri dan seterusnya membentangkan kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa ‘Islam di Alam Melayu Kali V’ (ICON IMAD V) yang diadakan di Kolej Pengajian Islam, Universiti Prince Songkla, Kampus Pattani, Thailand (PSU) baru-baru ini.

Rombongan diketuai oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal. Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, seminar yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 15 September itu merupakan anjuran bersama UNISSA, PSU, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Malaysia dan Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Gunung Djati Bandung Indonesia.

Seminar tersebut kali ini membawakan tema ‘Islam Moderat (Wasatiyah) untuk Kedamaian Sejagat: Satu Pengalaman dari Asia Tenggara’.

Gambar ramai peserta seminar.
Gambar ramai peserta seminar.

Semasa perasmian ICON IMAD V, Dr. Haji Norarfan yang juga turut sama menyampaikan ucapan menjelaskan penglibatan UNISSA sebagai penganjur bersama adalah untuk sama-sama menjelaskan kepada dunia bahawa Islam merupakan agama yang menganjur kedamaian sejagat dan usaha ini adalah sebahagian kewajipan umat Islam.

Beliau seterusnya mengharapkan agar penganjuran seminar ini akan mewujudkan satu jaringan akademik dan wadah perbincangan intelektual dalam bidang pengajian Islam yang akan menghasilkan penyelidikan dan penulisan berimpak tinggi dan berharap semoga seminar ini menghasilkan buah fikiran bernas yang boleh dijadikan bahan rujukan dan mencetuskan kemakmuran serta keharmonian sejagat. Seminar ini diadakan sebagai wadah untuk mewujudkan jaringan akademik dan intelektual antara para ilmuwan dalam usaha mengangkat kedudukan alam Melayu sebagai satu hab perkembangan ilmu zaman moden. Antara lain tujuan seminar ini juga untuk mengetengahkan hasil kajian dalam pelbagai bidang pengajian Islam dan wasatiyah agar dapat dimanfaatkan ummah dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA