Wahana penting ilmu pengetahuan

Wahana penting ilmu pengetahuan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) kini sedang menganjurkan seminar Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran Bahasa bagi Bukan Penuturnya: Realiti dan Harapan, yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Auditorium UNISSA ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman yang dialu-alukan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dan Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Dr. Salah Sebouai selaku pengerusi seminar.

Seminar ini merupakan antara usaha UNISSA dalam menyokong pembangunan pembelajaran dan pengajaran bahasa di samping membincangkan hala tuju penyelidikan yang akan mengumpulkan pakar-pakar akademik dalam pelbagai bidang dan latar belakang.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa bahasa berperanan sebagai wahana penting dan signifikan untuk mempelajari dan memahami sesuatu ilmu pengetahuan.

Penguasaan bahasa, katanya, bukan hanya tertumpu pada penguasaan bahasa ibunda saja, dalam konteks kita Bahasa Melayu, bahkan kita juga digalakkan menguasai bahasa-bahasa lain.

Menteri Pendidikan menyeru UNISSA mengambil inisiatif untuk mengetengahkan dan menggunakan teknologi maklumat dengan merangka strategi berbentuk kemahiran e-Portal dan aplikasi Apps.
Menteri Pendidikan menyeru UNISSA mengambil inisiatif untuk mengetengahkan dan menggunakan teknologi maklumat dengan merangka strategi berbentuk kemahiran e-Portal dan aplikasi Apps.
Antara mereka yang menghadiri seminar di Auditorium UNISSA, semalam.
Antara mereka yang menghadiri seminar di Auditorium UNISSA, semalam.
Profesor Madya Dr. Abdul Rahman menyampaikan ucaptama.
Profesor Madya Dr. Abdul Rahman menyampaikan ucaptama.

“Kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan,” ujar beliau sambil menambah, kemahiran tinggi dalam pelbagai bahasa akan menjadi pemangkin untuk melangkah jauh lagi ke hadapan dan seterusnya dapat menempatkan diri dalam persaingan kompetitif sektor kerjaya.

“Namun begitu, saya berharap supaya kita dapat memartabatkan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa lain yang diiktiraf oleh dunia,” kata beliau.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan cenderamata tanda penghargaan kepada Pembentang Ucaptama dari Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia, Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Chik dan Dr. Ghassan Al-Shatter, iaitu warga Australia yang sedang berkhidmat di Universiti Nizwa, Oman.

Seminar ini diadakan antara lain sebagai salah satu pendedahan akan usaha yang telah diungkayahkan oleh PPIB UNISSA dalam meningkatkan bidang pengajaran dan pembelajaran kemahiran di mana dengan seminar ini, ia dihasratkan akan menjadi sebagai medan perkongsian pendapat, pengalaman dan penyelidikan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran di kalangan akademik.

Seminar ini akan memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat dalam meneliti perkembangan kajian linguistik moden dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab, membincangkan metodologi terkini dan berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran bahasa, serta mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran di Asia Tenggara.

Sebanyak 34 buah kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar itu termasuk dua kertas perdana, dan daripada jumlah itu, dua buah kertas kerja akan dibentangkan dalam Bahasa Melayu, empat dalam Bahasa Inggeris dan 28 lagi dalam Bahasa Arab.

Para pembentang yang terlibat dalam seminar ini termasuk dari Amman, Mesir, Bangladesh, Sudan, Yemen, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA