Wajah baru, imej keBruneian

Wajah baru, imej keBruneian

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Dengan mengetengahkan imej Bruneian at Heart, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah merasmikan semula cawangannya di Tanjung Bunut yang kini berwajah baru.

Cawangan BIBD Tanjung Bunut yang terletak di Unit 1 dan 2, Blok F, Kompleks Membeli-belah Tanjung Bunut itu merupakan salah satu daripada cawangan bank berkenaan yang diberikan wajah baru bersesuaian dengan imej bank berkenaan.

Pembukaan semula cawangan berwajah baru itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri yang juga adalah Pemangku Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan BIBD, Awang Javed Ahmad, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan BIBD.

Majlis menyaksikan Awang Junaidi memotong reben dan menandatangani plak perasmian yang diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat sebelum beliau berpeluang untuk melawat serta menyaksikan dengan lebih dekat kemudahan yang terdapat di cawangan berkenaan.

Cawangan BIBD Tanjong Bunut yang kini berwajah baru.
Cawangan BIBD Tanjong Bunut yang kini berwajah baru.
Awang Junaidi memotong reben bagi merasmikan pembukaan semula Cawangan BIBD Tanjong Bunut.
Awang Junaidi memotong reben bagi merasmikan pembukaan semula Cawangan BIBD Tanjong Bunut.

Cawangan BIBD Tanjung Bunut merangkumi dua tingkat di mana tingkat bawah akan dikhususkan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kewangan manakala tingkat atas adalah bagi transaksi kaunter.

Keunikan bagi cawangan bank itu, ialah ia mempunyai perkhidmatan lif yang dipercayai bukan sahaja memberikan kemudahan bagi pelanggan tetapi membantu dalam pergerakan mereka di antara kedua-dua tingkat bank berkenaan.

Di samping itu, bagi memberikan perkhidmatan terbaik bagi pelanggannya lagi, cawangan itu juga menyediakan dua buah mesin ATM, dua buah mesin Cash Deposit (CDM), sebuah mesin Cheque Deposit (CQM) dan juga sebuah kios perbankan Internet bagi memudahkan lagi pelanggan membuat transaksi perbankan mereka semasa atau selepas waktu perbankan.

Ia dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.45 pagi hingga 4 petang kecuali Jumaat yang ditutup sementara bagi Sembahyang Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 2.30 petang. Cawangan itu juga dibuka pada Sabtu bermula 8.45 pagi hingga 11.15 pagi.

Cawangan Tanjung Bunut mula beroperasi pada 2007 dan merupakan sebahagian daripada rangkaian perbankan BIBD yang merupakan di antara yang terbesar di Brunei iaitu sebanyak 15 cawangan strategik di seluruh negara.

Rangkaian cawangan BIBD itu termasuk tiga buah cawangan dengan waktu operasi yang dilanjutkan iaitu di Kiulap, The Mall Gadong dan Giant, Rimba di mana cawangan-cawangan ini juga beroperasi pada hari Ahad bagi kemudahan pelanggan-pelanggan BIBD.

Semasa Majlis Pembukaan Semula Cawangan BIBD Tanjung Bunut itu, para pelanggan juga berpeluang untuk menikmati pelbagai hidangan juadah perayaan bagi memberikan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara kakitangan cawangan berkenaan dengan para pelanggan BIBD.

ARTIKEL YANG SAMA