Wakaf, amal jariah berharga

Wakaf, amal jariah berharga

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Wakaf merupakan satu wadah amal jariah yang amat berharga manakala benda yang diwakafkan adalah benda yang tinggi nilainya.

Ini kerana sesuatu yang sudah diwakafkan itu akan bertukar milik daripada milik pewakaf kepada milik Allah, jelas Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

“Sesuatu yang sudah diwakafkan itu, ia telah bertukar milik; dari mulanya milik kita, apabila telah diwakafkan, ia bukan lagi milik kita tetapi telah bertukar tangan menjadi milik Allah pula,” jelas beliau, sambil menekankan, benda wakaf atau barang wakaf tidak boleh diganggu-gugat seperti diambil, dibawa balik atau dijual dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin melancarkan buku bertajuk, Rawatan & Kesihatan 2 dan Teman Musafir (Edisi Mini), di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin melancarkan buku bertajuk, Rawatan & Kesihatan 2 dan Teman Musafir (Edisi Mini), di majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan buku-buku wakaf kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan buku-buku wakaf kepada salah seorang penerima.

“Ia hanya boleh dipakai, lepas dipakai disimpan balik di tempatnya, dalam makna, benda wakaf mempunyai status yang tersendiri, ia milik Allah, daripada siapa datangnya (pewakaf) dan orang yang menerima serta penggunanya (benda wakaf itu) akan sama-sama berkongsi pahala daripada Allah,” katanya.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara ini dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Pelancaran Buku di Ruang Legar, Darulifta‘ Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut melancarkan dua buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan bertajuk ‘Rawatan & Kesihatan 2’ dan ‘Teman Musafir (Edisi Mini).’

Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Pengarah Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah, ketua-ketua bahagian, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menjelaskan, Jabatan Mufti Kerajaan sejak tahun 2002 telah mengasaskan Wakaf Ilmu yang merupakan wakaf berupa buku-buku terbitan daripada jabatan berkenaan.

“Alhamdulillah, setakat ini Jabatan Mufti Kerajaan telah berhasil menerbitkan 96 judul buku, suatu rekod barangkali mengatasi agensi-agensi lain di negara ini. Buku-buku ini dibeli oleh pewakaf daripada pelbagai kalangan masyarakat dan diwakafkan oleh mereka kepada pelbagai pihak, seperti kepada masjid, sekolah, institusi pengajian tinggi dan lain-lain, meliputi di dalam dan di luar negara.”

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, tanpa disedari, wakaf ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana ia mudah untuk dilakukan.

“Telefon sahaja Jabatan Mufti Kerajaan, berapa banyak buku yang hendak diwakafkan, kita bersedia melayani dan menguruskannya tanpa bertangguh-tangguh. Kerana hajat yang baik ini mesti diurus dengan segera, supaya pewakafnya dapat menerima ganjaran pahala dengan segera juga.”

Sementara itu, Dato Paduka Ahmad Bukhari dalam ucapannya pula menjelaskan, buku ‘Rawatan & Kesihatan 2’ adalah kompilasi 35 fatwa tahun 2002-2013 yang berhubung kait dengan perubatan, rawatan dan amalan.

Buku 262 muka surat yang dijual pada harga $8 itu juga mengandungi fatwa mengenai pembedahan plastik, pemindahan dan pendermaan organ manusia, penggunaan kaki palsu, lelaki memakai gelang magnetik, penggunaan syisya dan pengambilan ubat-ubatan yang mengandungi najis, alkohol dan arak.

Manakala itu, buku ‘Teman Musafir’ Edisi Mini yang diformatkan semula daripada edisi asal yang biasa, mengandungi saran-saran zikir dan amalan sebelum, semasa dan ketika pulang dari pelayaran atau perantauan, termasuklah doa-doa, zikir, dan panduan sembahyang safar, qasyar dan jama’.

Menurut beliau, doa dan zikir yang baik dan berfaedah untuk diamalkan juga dimuatkan seperti doa angin kencang, hujan lebat yang menakutkan, selawat Tafrijiyyah, Munjiah dan An-Nur. Buku ini mempunyai 52 muka surat dan berharga $1.50.

Majlis pagi tadi itu turut menyaksikan Mufti Kerajaan menyempurnakan penyampaian buku-buku wakaf dan derma sumbangan Hari Raya.

ARTIKEL YANG SAMA