Wakaf buku kepada UNISSA & KUPU SB

Wakaf buku kepada UNISSA & KUPU SB

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Sebahagian daripada koleksi buku-buku milik Allahyarhamah Datin Dr. Hajah Saadiah binti Dato Derma Wijaya Haji Tamit yang merupakan seorang Pensyarah Kanan di Universiti Brunei Darussalam, telah diwakafkan kepada Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Majlis penyerahan wakaf buku-buku berkenaan telah diadakan, hari ini, di Perpustakaan UNISSA, dan disempurnakan sendiri oleh suami Allahyarhamah, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metusin bin Haji Baki, kepada Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Antara buku-buku yang disumbangkan terdiri daripada Sejarah Islam Serantau dan juga Melayu Islam Beraja (MIB), dan buku-buku rujukan asasi pengajian Islam dari pelbagai bidang seperti Hadith, Tafsir, Fikah, ensiklopedia, undang-undang dan lain-lain lagi.

Dr. Haji Norarfan dalam ucapannya berkata, daripada senarai buku waqaf yang disumbangkan itu menunjukkan bahawa ia merupakan buku rujukan asasi dalam pengajian Islam yang sudah setentunya sangat berguna dan bermanfaat untuk rujukan para pelajar dan tenaga akademik UNISSA dan juga orang ramai yang menggunakan perpustakaan UNISSA.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak keluarga Almarhumah khususnya, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Awang Metusin kerana mewaqafkan buku-buku ilmiah yang sangat bermanfaat kepada perpustakaan UNISSA.

Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metusin (kiri) menyerahkan wakaf buku kepada Dr. Haji Norarfan.
Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metusin (kiri) menyerahkan wakaf buku kepada Dr. Haji Norarfan.
Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metussin menyerahkan buku-buku kepada Dr Hajah Masnon.
Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metussin menyerahkan buku-buku kepada Dr Hajah Masnon.

Dalam pada itu, semalam, sebanyak 372 buah buku ilmiah milik Allahyarhamah juga telah diwakafkan ke Perpustakaan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Buku-buku berkenaan juga telah diserahkan oleh Yang Arif Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Metussin kepada Ra’es KUPU SB, Dr Hajah Masnon binti Haji Ibrahim, di majlis yang berlangsung di Bilik Hikmah, KUPU SB.

Allahyarhamah merupakan salah seorang bekas pelajar di Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan, dan pernah bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, IPI SOAS dan Akademi Pengajian Brunei di Universiti Brunei Darussalam, serta pernah menjadi pensyarah sambilan di KUPU SB.

ARTIKEL YANG SAMA