Wakil media hadiri Dialog Delhi ke-8

Wakil media hadiri Dialog Delhi ke-8

Oleh Ruzaini Haji Daud

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Diplomat kanan dan pemimpin perniagaan dari negara-negara anggota ASEAN dan India akan menyertai edisi kelapan Dialog Delhi di New Delhi antara 17 dan 19 Februari.

Sehubungan itu, dua wakil media tempatan termasuk seorang dari Media Permata, telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, menuju ke New Delhi, India untuk menghadiri dialog berkenaan.

Dialog anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) India itu akan membincangkan isu-isu meliputi politik dan sosial budaya dengan dibahagikan kepada tiga sesi mengenai perniagaan, menteri dan akademik.

Setiausaha MEA (Timur) Anil Wadhwa memberitahu taklimat media di Kuala Lumpur hari ini bahawa pada hari pertama (17 Februari) sesi perniagaan, sebilangan besar peserta dari lima dewan perniagaan India dijadualkan mengambil bahagian dalam dialog.

Haji Muhammad Ruzaini dan Aaron Alwines Wong berlepas ke New Delhi, kelmarin.
Haji Muhammad Ruzaini dan Aaron Alwines Wong berlepas ke New Delhi, kelmarin.

Anil berkata perbincangan mungkin berkisar tentang bagaimana India boleh meningkatkan hubungan perniagaan dengan ASEAN yang merupakan ekonomi keempat terbesar di dunia.

Pada hari kedua, Menteri Hal Ehwal Luar Sushma Swaraj akan mempengerusikan sesi menteri apabila semua ketua delegasi ASEAN dijangka menyertainya.

Pada 19 Februari iaitu hari terakhir dialog di Institut Kajian Pertahanan dan Analisis, Anil berkata beberapa perbincangan panel akan berlangsung antara ahli akademik berhubung keselamatan secara umum di rantau Asia Pasifik.

Malaysia akan diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Naimun Ashakli Mohammad.

Sementara itu, wakil media tempatan Brunei yang menghadiri acara tahunan tersebut, akan turut menyertai siri lawatan bersama 20 pengamal media dari negara-negara ASEAN, di bawah Program Pertukaran ASEAN-India dari 16 hingga 23 Februari yang dianjurkan oleh Kerajaan India.

Dalam siri lawatan tersebut, mereka akan dibawa melawat ke beberapa buah tempat menarik di sekitar India seperti New Delhi, Agra dan Hyderabad sebagai pendedahan kepada lokasi menarik di negara tersebut khususnya bagi tujuan pelancongan.

ARTIKEL YANG SAMA