Wakil Minggu Wanita kongsi pengalaman

Wakil Minggu Wanita kongsi pengalaman

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Wanita tempatan yang telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Program Minggu Wanita yang berlangsung di Wilton Park, United Kingdom pada 28 hingga 30 Oktober lalu, telah dijemput untuk mengongsikan pengalamannya di London pada majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi United Kingdom di sini, hari ini.

Suruhanjaya Tinggi United Kingdom di Brunei Darussalam telah menjemput Stephanie Koh untuk mengongsikan pengalamannya bersama media dan perwakilan dari suruhanjaya berkenaan dalam sesi perkongsian selama 10 minit.

Dalam sesi berkenaan, Stephanie memberitahu lebih 300 orang ahli delegasi yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan di United Kingdom, syarikat-syarikat dan delegasi dari 32 buah negara telah menghadiri Minggu Wanita tersebut yang diadakan selama tiga hari.

Menurut beliau, semasa sidang Minggu Wanita itu, para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan berbincang mengenai halangan keras dan halangan lembut yang memberi kesan kepada penyertaan dan kepimpinan wanita dalam pelbagai isu, diikuti dengan sesi cara menyelesaikan halangan tersebut.

“Perbincangan ini sangat menarik kerana berpeluang mendengar pelbagai perspektif wakil dari pelbagai negara seperti Armenia, Kanada, Thailand, Korea, Jamaica, Filipina dan lain-lain lagi.

Stephanie Koh berkongsi pengalaman beliau semasa menyertai Program Minggu Wanita yang diadakan di London pada 28 hingga 30 Oktober lalu.
Stephanie Koh berkongsi pengalaman beliau semasa menyertai Program Minggu Wanita yang diadakan di London pada 28 hingga 30 Oktober lalu.

“Antara yang ditekankan dalam isu halangan termasuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang mahal, ketidakadilan jantina di tempat kerja, kurang pengajaran dan perbezaan tempoh hak cuti bersalin,” ujarnya.

Semasa sesi berkenaan, Stephanie turut berkongsi kehidupannya di Negara Brunei Darussalam, yang menurutnya, beliau bernasib baik diberi peluang untuk menjadi wanita pertama bertugas di Fairley-4 bersama kumpulan 50 kakitangan lelaki yang berpengalaman.

Beliau melahirkan kepercayaan bahawa sebagai wanita yang bertugas di platform berkenaan, beliau membawa perubahan kepada pengurusan operasi seharian.

Katanya lagi, apa yang menarik pada acara itu adalah penyampaian anugerah kepada wanita dalam bidang perniagaan, usahawan, teknologi dan digital, sains, kesenian dan budaya, media, semangat masyarakat, profesional, hartanah, infrastruktur dan pembinaan, bintang MBA, sukan, Young Star, korporat dan mentor, yang menurutnya benar-benar menunjukkan sejauh mana wanita telah membuat perbezaan dalam kesemua industri dan lapisan masyarakat.

“Bagi saya, pemenang dalam kategori ‘Young Star’ iaitu Phoebe Gormley menjadi kekaguman saya. Wanita berumur 20 tahun itu meninggalkan universiti dan menggunakan yuran sekolah beliau untuk membuka perniagaan sendiri dan telah berjaya menubuhkan kedai jahit wanita dinamakan Gromley & Gable, London,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA