Wakil negara cemerlang di Palembang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Pasukan Negara Brunei Darussalam berjaya meraih tempat ketiga Kejohanan Lumba Perahu Naga International Nusi Tribotan 2017 yang berlangsung di Palembang, Indonesia baru-baru ini.

Tujuh buah negara menyertai kejohanan tersebut yang dijuarai oleh Indonesia, yang mencatatkan masa 1:01:45 di hadapan saingan terdekatnya dari China, yang mencatatkan masa 1:01:51, dan diikuti oleh Brunei Darussalam dengan masa catatan masa 1:01:70.

Turut menyertai perlumbaan itu adalah pasukan dari Kuala Lumpur Malaysia (1:02:59), Filipina (1:02:86), Melaka Malaysia (1:03.03) dan Singapura (1:03:10).

Malah pasukan negara juga berjaya mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di perlumbaan itu apabila menerima anugerah Pasukan Pilihan Terbaik daripada keseluruhan 19 pasukan yang menyertai kejohanan itu.

Pasukan Brunei Darussalam yang berjaya meraih tempat ketiga di Kejohanan Lumba Perahu Naga Nusi Tribotan 2017 di Palembang, Indonesia.