Wakil negara sertai musabaqah di Maghribi

Oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Dengan hasrat untuk meningkatkan mutu hafazan Al-Quran, Negara Brunei Darussalam telah menghantar seorang peserta untuk menyertai Musabaqah The 13th Edition of Mohammed VI International Prize For The Holy Quran yang akan berlangsung di Maghribi pada 14 November nanti.

Sehubungan itu, rombongan Negara Brunei Darussalam ke musabaqah berkenaan terdiri daripada peserta Awang Muhammad Najib bin Haji Aliakhbar serta Pengurus Pasukan dan Jurulatih, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit berlepas ke Maghribi, hari ini.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan berkenaan ialah Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Haji Madzneh bin Haji Mohd Noor.

Penyertaan negara ke acara berkenaan bermatlamat untuk menggalak dan menarik minat para belia dalam mencintai Al-Quran, mendampingi, menghayati dan mengamalkan isi Al-Quran.

Pada masa yang sama, ia juga dihasratkan untuk memantapkan lagi mutu penghafazan Al-Quran.

Haji Madzneh (kanan), Pengiran Haji Amiruddin (kiri) dan Awang Muhammad Najib (tengah) bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, sebelum rombongan peserta dan pengurus pasukan berlepas ke Maghribi bagi menyertai Musabaqah The 13th Edition of Mohammed VI International Prize For The Holy Quran.