Wakil negara sertai pertandingan APICTA di Sri Lanka

Wakil negara sertai pertandingan APICTA di Sri Lanka

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Tujuh pasukan bakal mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pertandingan Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) yang akan diadakan di Colombo, Sri Lanka, bermula esok (17 November) hingga 22 November.

Sehubungan itu, delegasi negara yang diketuai oleh Pembantu Kanan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad yang juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif Brunei di APICTA, telah berlepas ke Colombo hari ini.

Perwakilan ExCo Brunei lain pada acara berkenaan ialah Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Sheikh Abas bin Sheikh Mohamad dan Bendahari IFB, Gary Liau Tian Soon.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada delegasi tersebut ialah Ketua Eksekutif AITI yang juga selaku Penasihat Jawatankuasa Kerja Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2015, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Menurut kenyataan AITI, hari ini, para peserta negara ke pertandingan itu terdiri daripada juara dan pemenang kedua dalam BICTA 2015, yang terdiri daripada Pasukan Sekolah St John, Kuala Belait dengan projek mereka iStudyGSCE dan Pasukan Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan dengan projek C@Attendance, yang mana kedua-dua pasukan ini akan menyertai Kategori Projek Sekolah.

Pengiran Haji Mohd Zain ketika diperkenalkan kepada salah seorang delegasi negara dari Sekolah St. John’s, Kuala Belait.
Pengiran Haji Mohd Zain ketika diperkenalkan kepada salah seorang delegasi negara dari Sekolah St. John’s, Kuala Belait.

Bagi Kategori Projek Tinggi, pasukan Institut Teknologi Brunei (ITB) akan mempertandingkan projek ITB Virtual Campus dan Kolej IGS dengan projek mereka bertajuk ChewBitz.

Sementara itu, D5 Innovation dengan projek VirtualKiub, SnapFeed Sdn Bhd dengan projek SnapFeed dan Pasukan RingPing dengan projek yang juga dinamakan sebagai RingPing akan menyertai kategori Industri ICT.

Delegasi berkenaan turut disertai tiga orang hakim iaitu Jennifer Voon Nyuk Hiong dari ITB, Dr. Fadzliwati binti Mohiddin dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff dari SUHBE Co, serta seorang ahli panel penasihat penghakiman iaitu Dr. Yong Chee Tuan dari YiEcomodern Solutions Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, Anugerah APICTA disertai oleh 16 buah negara iaitu Australia, Bangladesh, Brunei, China, Taipei, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Nepal.

Ia merupakan program anugerah antarabangsa tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran ICT dalam kalangan masyarakat dan membantu merapatkan jurang digital.

Dengan menyediakan peluang-peluang rangkaian dan penandaarasan produk kepada para pencipta dan usahawan ICT di rantau ini, program direka untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT, mempromosikan hubungan ekonomi dan perdagangan, membantu pemindahan teknologi, serta menawarkan peluang-peluang pemadanan perniagaan menerusi pendedahan kepada perusahaan-perusahaan dan para pelabur.

Penyertaan Brunei Darussalam dalam pertandingan berkenaan merupakan inisiatif berterusan Kementerian Perhubungan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT serta untuk membantukan sektor ICT negara dengan menggalakkan individu-individu, pelajar dan perniagaan bertanding pada peringkat antarabangsa.

Sejak 2008, Brunei telah memenangi dua anugerah kemenangan, 13 anugerah merit dan satu anugerah khas (special mention).

Bagi maklumat lanjut mengenai BICTA dan APICTA, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.bicta.gov.bn dan www.apicta.org.

ARTIKEL YANG SAMA