Wakil PPNBD bertolak ke Jakarta

Wakil PPNBD bertolak ke Jakarta

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Dua orang Pesuruhjaya Pengakap dari Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), hari ini, telah berlepas ke Jakarta, Indonesia, bagi menghadiri Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN yang akan berlangsung di Pusat Latihan Kementerian Kesihatan Indonesia, Cilandak, Jakarta Selatan, Indonesia.

Hadir di Dewan Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada delegasi PPNBD yang terdiri daripada iaitu Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Ratna Setia Dato Setia Haji Awang Hapidz itu ialah Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar.

Menurut kenyataan daripada PPNBD, mesyuarat itu nanti adalah bagi membincangkan beberapa perkara penting mengenai kegiatan-kegiatan terkini yang dijalankan oleh negara-negara Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN.

Haji Awang Badar (kiri) dan Haji Ismail (kanan) yang akan menghadiri Mesyuarat ASARC di Jakarta.
Haji Awang Badar (kiri) dan Haji Ismail (kanan) yang akan menghadiri Mesyuarat ASARC di Jakarta.

Antara agenda penting yang bakal dibincangkan semasa mesyuarat itu termasuk pengesahan minit mesyuarat yang lalu di Manila, Filipina, pengesahan penubuhan ASARC dengan Sekretariat ASEAN serta perlaksanaan Jambori ASEAN di Terengganu, Malaysia pada bulan September 2016 dan status sebagai pemerhati bagi Pengakap Myanmar dan Pengakap Vietnam dalam ASARC.

Di samping itu, para delegasi ASARC juga akan mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Sekretariat ASEAN di Jakarta.