Wakil rakyat ...

Wakil rakyat dijumpai mati tergantung

JAKARTA, 9 Jan – Seorang Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Batu di Malang Jawa Timur dijumpai mati tergantung dengan seutas tali di dalam bilik di rumahnya semalam.

Menurut laporan portal-portal berita dalam talian hari ini, mayat Sandy Pratama Putra, 28, wakil rakyat daripada parti Nasional Demokratik (Nasdem) itu ditemui oleh keluarganya di dalam rumah mereka di Jalan Raya Tlekung di Kota Batu, Malang.

Anggota DPRD ialah bersamaan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri di Malaysia.

Ketua bahagian Hubungan Masyarakat Polis Daerah Batu, Waluyo berkata polis masih menjalankan siasatan tetapi setakat ini tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah.

Wakil rakyat itu dipercayai menggantung diri dengan menggunakan tali plastik yang diikat pada alang rumah.

Keluarga Sandy juga dikatakan enggan melakukan bedah siasat mayatnya dan mahu mengebumikan jenazah itu dengan segera.

Selain menjadi wakil rakyat, Sandy yang meninggalkan seorang isteri dan dua anak yang masih kecil itu, juga menjalankan pelbagai perniagaan termasuk industri makanan ringan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA