Wakil republikan mohon maaf

Wakil republikan mohon maaf

OKLAHOMA CITY, 16 Julai – Parti Republikan yang mencetuskan kontroversi kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada golongan tidak berkemampuan dalam laman sosial Facebook, akhirnya memohon maaf kepada golongan berkenaan di negara ini.

Status yang dimuat naik oleh Pengerusi Republikan Oklahoma, Randy Brogdon pada Isnin lalu mengundang kemarahan kerana bertindak menyamakan pemberian sumbangan berbentuk baucar makanan kepada golongan tersebut seperti memberi makan kepada haiwan di taman negara.

Brogdon kemudian menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada 46 juta warga Amerika Syarikat yang menerima sumbangan baucar makanan berkenaan apabila menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada partinya sendiri dan Parti Demokrat.

Brogdon, bagaimanapun mendakwa status itu telah disalah tafsir dan beliau tidak berniat untuk melukakan hati mana-mana pihak.

Sebelum ini, beliau menulis, sedangkan taman negara sendiri tidak menggalakkan orang ramai memberi makanan kepada binatang liar kerana mereka akan membiasakan diri menerima makanan berbanding cuba hidup berdikari. Namun, apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya.

Di Oklohama sahaja, seramai 604,000 orang kurang berkemampuan termasuk warga emas, OKU dan kanak-kanak miskin menerima bantuan tersebut yang dikenali sebagai Program Pemakanan Bantuan Tambahan (SNAP).

Pada 2010, Brogdon pernah mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan pembentukan negeri militan di Oklahoma supaya dapat membendung campur tangan dan pencerobohan daripada kerajaan persekutuan.

Beliau bagaimanapun menarik kembali kenyataan tersebut selepas mendapat kritikan daripada pelbagai pihak. – Agensi