Wakil SCB Brunei sertai cabaran berbasikal di Jepun

Wakil SCB Brunei sertai cabaran berbasikal di Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Perwakilan dari Brunei Darussalam, Singapura, Malaysia, Vietnam dan Jepun yang merupakan kakitangan Bank Standard Chartered (SCB) dan jemputan serta rakan-rakan, baru-baru ini, berkumpul di Kyoto, Jepun bagi acara berbasikal Ride for Sight.

Menurut kenyataan SCB Brunei, ia merupakan acara pengumpulan dana yang semakin popular, diusahakan oleh kakitangan bank untuk mengutip dana bagi inisiatif Seeing is Believing.

Cabaran berbasikal selama empat hari itu menyaksikan para peserta berbasikal sejauh 546 kilometer dengan jumlah aras tinggi 8,190 meter.

Perjalanan bermula dari Kyoto pada 19 April dan berakhir di Tokyo pada 22 April itu, membawa para peserta melalui salah satu laluan berbasikal yang mempunyai pemandangan menakjubkan di Jepun.

Sebahagian laluan termasuklah berbasikal naik ke Gunung Fuji dan sekitar tasik Fuji Five Lakes termasuklah bandar Toba, sebuah bandar pelabuhan pantai yang terkenal dengan tiram dan pemeliharaan mutiara, sejak zaman Sengoku.

Perwakilan SCB dari beberapa negara yang menyertai acara berbasikal Ride for Sight.
Perwakilan SCB dari beberapa negara yang menyertai acara berbasikal Ride for Sight.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan seramai 20 orang itu telah berjaya mengutip sejumlah AS$66,000 bagi Seeing is Believing, inisiatif sejagat yang menjadi kebanggaan SCB untuk menangani kebutaan yang dapat dielakkan dan cacat penglihatan.

Tiga wakil dari Brunei yang menyertai cabaran berbasikal dari Kyoto ke Tokyo itu sebagai tetamu Standard Chartered Brunei ialah Edmund Teo, Philip Chieng dan Lance Lau, di mana mereka mengumpul sejumlah AS$7,800 untuk usaha berkenaan.

Ride for Sight dianjurkan oleh kakitangan SCB di rantau ASEAN dan telah dianjurkan di Singapura, Malaysia, Phuket, Vietnam dan kini di Jepun.

Setakat ini, ia merupakan cabaran paling pelbagai dengan peserta-peserta dari sembilan warganegara berlainan di pejabat-pejabat bank di Asia. Malah ia juga merupakan jelajah paling mencabar dengan jarak lebih daripada 500 kilometer dengan jumlah ketinggian paling tinggi. Semua perbelanjaan bagi jelajah berkenaan ditanggung sepenuhnya sendiri oleh para peserta.

ARTIKEL YANG SAMA