Wakil UBD sertai Seminar Folklor di M’sia

Wakil UBD sertai Seminar Folklor di M’sia

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Tiga orang wakil dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghadiri Seminar Folklor (Cerita Rakyat) Nusantara 2015 yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini, di Dewan Seminar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perlis, Kangar, Perlis, Malaysia.

Wakil UBD terdiri daripada dua pensyarah Kesusasteraan Melayu iaitu, Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong dan Dr. Maslin bin Jukim/Jukin (pakar Folklor Melayu Brunei) serta seorang siswazah Sarjana Kesusasteraan Melayu, Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani.

Seminar anjuran Persatuan Folklor Malaysia itu membawa tema utama ‘Asmara Percintaan dan Kasih Sayang Folklor Nusantara’, yang dipilih kerana konsepnya yang luas dan berupaya merintis penyertaan golongan penyelidik muda dalam menghasilkan kertas kerja yang berkualiti, di samping menjadikan kajian ilmu folklor lebih menarik untuk diperbincangkan.

Pada hari pertama seminar kelmarin, ucaptama telah disampaikan oleh Presiden Folklor Malaysia, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh yang juga merupakan salah seorang pensyarah terawal di UBD semasa era penubuhannya pada tahun 1985 dan diikuti dengan pembentangan daripada Awang Syahwal Nizam bertajuk ‘Motif Percintaan dalam Diangdangan Brunei’.

(Kiri-kanan) Dr. Haji Ramlee , Prof Emeritus Muhd Haji Salleh, Dr. Maslin dan Awang Syahwal Nizam ketika berkesempatan bergambar ramai.
(Kiri-kanan) Dr. Haji Ramlee , Prof Emeritus Muhd Haji Salleh, Dr. Maslin dan Awang Syahwal Nizam ketika berkesempatan bergambar ramai.

Sementara itu, hari ini, Dr. Haji Ramlee membentangkan kertas kerja kajiannya bertajuk ‘Kasih Sayang dalam Pantang Larang Melayu Brunei’ dan Dr. Maslin bin Haji Jukim/Jukin dengan kertas kerjanya bertajuk ‘Kasih Sayang dalam Pertuturan Brunei’.

Penyertaan dalam seminar berkenaan merupakan salah satu inisiatif para pensyarah Kesusasteraan Melayu UBD bagi mendedahkan ciri-ciri keistimewaan folklor Brunei Darussalam.

Seminar ini merupakan salah satu inisiatif Persatuan Folklor Malaysia untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda dan membudayakan masyarakat di samping memperbandingkan persamaan, keistimewaan dan perbezaan budaya dan tradisi tradisional di Nusantara.

Seminar Foklor Nusantara ini dijadikan acara tahunan dan pada tahun ini, Perlis menjadi tuan rumah.

ARTIKEL YANG SAMA