Wakili Daerah Tutong ke suku akhir

Wakili Daerah Tutong ke suku akhir

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG 13 Okt – Seramai lapan orang peserta lelaki dan seorang peserta perempuan telah menyertai Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Zon dan Daerah Tahun 1438H/2016M bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong.

Haji Mahari bin Haji Metussin dengan mendapat 81.4 peratus telah muncul juara diikuti Haji Masri bin Haji Mohammad dengan mendapat 80.4 peratus dan Awang Razali bin Ibrahim di tempat ketiga dengan markah 79.75 peratus.

Sementara itu, Haji Khairulzambin bin Haji Jefrey dan Haji Julaidi bin Haji Baha bersama satu-satunya peserta perempuan, Dayang Lailatu Nasyitah binti Haji Abu Bakar turut berjaya mara ke suku akhir kebangsaan setelah mendapat markah melebihi 75 peratus.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Juga hadir ialah pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, para peserta, ibu bapa peserta, jemaah dan penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Haji Adnan menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan.
Haji Adnan menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan.
Para peserta pertandingan bergambar ramai.
Para peserta pertandingan bergambar ramai.

Pertandingan tahunan ini dikendalikan oleh Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong.

Ia diadakan untuk memilih peserta qari dan qariah yang memperoleh markah 75 peratus ke atas bagi mewakili Daerah Tutong sekali gus memasuki ke peringkat suku akhir kebangsaan yang akan diadakan nanti.

Di samping itu, pertandingan ini juga merupakan galakkan untuk menarik minat orang ramai dalam meningkatkan mutu bacaan Al-Quran, selain sebagai pendorong kepada mereka yang berbakat dalam seni pembacaan Al-Quran agar mengasah bakat yang ada melalui pertandingan.

ARTIKEL YANG SAMA