Wakili negara bincang keusahawanan

Wakili negara bincang keusahawanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Kira-kira 34 orang usahawan muda dan pemimpin belia akan menghadiri Forum Elit ASEAN 2015 dan Sidang Mesyuarat Usahawan ASEAN 2015 Pertama, yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia bermula 20 hingga 22 November ini.

Hadir bagi mewakili negara ialah Ketua Program Keusahawanan Belia dan Unit Sub Hubungan Antarabangsa, Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Pengiran Kamal Ghadafi bin Pengiran Haji Suhaimi yang telah dilantik sebagai Country Advisor Brunei Chapter, dan bersama Global Development Initiative Malaysia Chapter.

Forum yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Usahawan ASEAN yang beribu pejabat di Hong Kong ini dihadiri oleh para delegasi daripada latar belakang yang berbeza dan telah aktif dalam bidang masing-masing di negara mereka.

Forum itu bermatlamat untuk tempat bertukar-tukar idea, mengemukakan projek lalu dan masa hadapan dan mewujudkan perkongsian di kalangan mereka untuk menekankan perlunya para belia terlibat aktif dalam berbagai-bagai projek yang bertujuan mengembangkan kemahiran dan perkembangan belia.

Para delegasi dari Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Kemboja, India, Bangladesh dan Brunei Darussalam akan diwakili sendiri oleh Pengiran Kamal Ghadafi.

Pada forum itu juga para delegasi akan membincangkan cadangan pembentukan Gabungan Persahabatan ASEAN (AFA) yang akan dicadangkan kepada agensi kerajaan masing-masing dan Sekretariat ASEAN.

Matlamat AFA ialah untuk menjana lebih banyak idea dan penglibatan daripada belia-belia ASEAN dan rakan-rakannya dan untuk membantu inisiatif negara-negara anggota ASEAN dalam projeknya atau membentuk projek baru dengan perkongsian di kalangan negara-negara anggota.

Pengiran Kamal Ghadafi yang aktif dalam bidang belia telah bergiat aktif sejak sedekad lalu terutamanya dalam kepimpinan belia dan baru-baru ini dalam keusahawanan dan telah menyampaikan ceramah motivasi ke sekolah-sekolah dan kepada para belia sebagai sebahagian daripada program perkembangan kemahirannya untuk para belia di Brunei Darussalam.

Beliau juga dijangka akan membuat penyampaian di Forum Elit ASEAN 2015 untuk memupuk hubungan lebih baik di kalangan para delegasi dan mewujudkan perkongsian bagi program akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA