Waktu operasi permohonan visa UK di Brunei ditambah

Waktu operasi permohonan visa UK di Brunei ditambah

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Pusat permohonan visa United Kingdom di Brunei akan dibuka lima hari seminggu sebagai persediaan bagi peningkatan permintaan dalam tempoh kemuncak permohonan pelajar pada bulan Ogos.

Bahagian Visa dan Imigresen UK (UKVI), dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa perjanjian pusat permohonan visa berkenaan kini akan dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam tahun berakhir Mac 2016, UK telah mengeluarkan sekitar 600 visa Tier 4 kepada warga Brunei.

Sejak Disember, operasi visa UK di Brunei telah berpangkalan di Regus, di Tingkat 8 Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan dan dijalankan oleh rakan komersial UKVI iaitu VFS Global.

Dengan itu, Suruhanjaya Tinggi tidak lagi terlibat dalam proses permohonan visa berkenaan. Pengarah Serantau UKVI di Asia Pasifik, Dominique Hardy dipetik sebagai berkata, “Tambahan waktu operasi kami merupakan berita baik bagi pelanggan kami di Brunei tatkala kami memasuki tempoh paling sibuk dalam tahun ini.

“Kami menggalakkan para pemohon Tier 4 untuk memeriksa keperluan visa mereka dalam talian, pastikan mereka mempunyai semua dokumen yang mereka perlukan dan memohon seawal mungkin,” tambahnya.

Katanya lagi, pemindahan ke pusat permohonan visa baru berkenaan membantu memenuhi komitmen mereka untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi, menumpukan kepada pelanggan dan lebih mudah diakses, yang memenuhi keperluan semua pemohon visa UK di Brunei.

UKVI dalam kenyataannya turut menekankan bahawa mereka bermatlamat untuk memproses semua permohonan dalam tempoh 15 hari bekerja, bagaimanapun, para pemohon visa Tier 4 yang ingin menerima keputusan lebih cepat boleh memilih perkhidmatan visa prioriti 3-5 hari. Pemohon visa perlu membayar $52 di samping harga visa mereka untuk menggunakan tempat permohonan baru berkenaan. Bayaran ini akan termasuk penghantaran pasport mereka ke alamat-alamat yang diinginkan bermakna pemohon tidak perlu lagi mengambilnya di pusat berkenaan.

Bagi butiran lanjut mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat di pusat permohonan visa UK, bolehlah melayari laman sesawang www.vfsglobal.co.uk/brunei, manakala itu, maklumat mengenai visa pemohon boleh melayari www.gov.uk/check-uk-visa dan jika mempunyai pertanyaan lanjut layari www.gov.uk/contact-ukvi-outside-uk.

Dalam pada itu, UKVI juga akan mengadakan seminar menerusi web secara langsung pada 19 Ogos dari 11 pagi hingga 12 tengah hari bagi membolehkan pemohon bertanya soalan mengenai proses permohonan visa. Soalan-soalan bolehlah diberikan terlebih awal menerusi akaun Twitter Suruhanjaya Tinggi British @UKinBrunei menggunakan hashtag #ukviwebinar menjelang 15 Ogos.

ARTIKEL YANG SAMA