Waktu perkhidmatan dilanjutkan

Waktu perkhidmatan dilanjutkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi akan melanjutkan perkhidmatannya di luar waktu bekerja semasa bulan Ramadan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan di sini, Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan (Ong Sum Ping) akan dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang dan dari 7.30 malam hingga 10.00 malam pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Pada hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam, pusat tersebut dibuka dari jam 2.30 petang hingga 5.30 petang dan dari 7.30 malam hingga 10 malam.

Pada hari-hari kelepasan awam yang bersambung dengan hujung minggu atau hari kelepasan awam yang lebih dari sehari, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi akan dibuka dari jam 2.00 petang hingga 5.30 petang dan 7.30 malam hingga 11.00 malam.

Bagi Pusat Kesihatan Sungai Liang pula, waktu perkhidmatan pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu ialah dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Manakala pada hari Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam dari jam 2.00 petang hingga 9.00 malam.

Waktu perkhidmatan bagi pusat-pusat kesihatan yang lain pada bulan Ramadan ini akan dibuka seperti biasa dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.