Waktu perkhidmatan JIPK dilanjutkan

Waktu perkhidmatan JIPK dilanjutkan

Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) memaklumkan bahawa Bahagian Dokumen Perjalanan di ibu pejabatnya, di sini, dan cawangannya di Daerah Belait, Tutong dan Temburong akan menambah waktu perkhidmatan setiap hari bermula 4 Mac hingga 1 April dari jam 8.15 pagi hingga 11 pagi.

JIPK dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa setiap menjelangnya musim cuti penggal persekolahan terutamanya pada penghujung tahun, permohonan orang ramai untuk mendapatkan pasport turut meningkat berbanding hari-hari biasa.

Dalam hubungan ini, JIPK menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk membuat perjalanan ke luar negara supaya akan dapat merancang dengan bijak dan lebih awal dalam membaharui dokumen perjalanan.

Orang ramai juga diingatkan supaya memastikan setiap dokumen perjalanan mereka dalam keadaan baik dan teratur serta masih mempunyai tempoh sah laku yang dibenarkan.

Selain itu, JIPK turut menasihatkan orang ramai yang akan membuat perjalanan ke luar negara terutama semasa musim percutian sekolah yang melintasi pos-pos kawalan imigresen melalui jalan darat supaya akan dapat merancang perjalanan dengan bijak dan berhemah bagi mengelak perjalanan mereka terperangkap dalam deretan kenderaan yang panjang.