Wal-mart, JD.com umum perikatan di China

Wal-mart, JD.com umum perikatan di China

NEW YORK, 21 Jun (AFP) – Wal-Mart akan memindahkan operasi dalam talian Yihaodian di China kepada JD.com sebagai pertukaran untuk pegangan dalam gergasi e-dagang Cina itu, perikatan itu mengumumkan semalam.

Di bawah perjanjian itu, JD.com akan mengambil pemilikan jenama Yihaodian dari Wal-Mart Stores, laman sesawang dan aplikasi. Wal-Mart pula akan terus menjalankan perniagaan jualan langsung Yihaodian.

Sebagai pertukaran, Wal-Mart akan menerima hampir 145 juta saham baru JD.com, sama dengan kira-kira lima peratus daripada syarikat peruncit dalam talian kedua terbesar China selepas Alibaba.

Yihaodian mempunyai kehadiran yang kukuh di timur dan selatan China dengan menawarkan makanan, minuman, barangan rumah dan peralatan elektronik. Ia mempunyai lebih daripada 100 juta pelanggan berdaftar pada Julai 2015, menurut satu lembaran fakta Wal-Mart.

Perjanjian itu dijangka memberi manfaat kepada Wal-Mart dengan menawarkannya pendedahan kepada bahagian lain di China di mana Yihaodian kurang diketahui.

CEO Walmart Doug McMillon ketika berucap semasa Mesyuarat Pemegang Saham Wal-Mart di Fayetteville, Ark dalam gambar fail 3 Jun 2106. Wal-Mart akan memindahkan operasi dalam talian Yihaodian di China kepada JD.com sebagai pertukaran untuk pegangan dalam gergasi e-dagang Cina itu. – AP
CEO Walmart Doug McMillon ketika berucap semasa Mesyuarat Pemegang Saham Wal-Mart di Fayetteville, Ark dalam gambar fail 3 Jun 2106. Wal-Mart akan memindahkan operasi dalam talian Yihaodian di China kepada JD.com sebagai pertukaran untuk pegangan dalam gergasi e-dagang Cina itu. – AP

JD.com pula akan dapat menawarkan lebih banyak barangan import kepada ekonomi kedua terbesar di dunia itu daripada rantaian pengedaran global Wal-Mart. Sam Club China Wal-Mart juga merancang untuk membuka kedai utamanya di JD.com.

“Kami amat gembira untuk mengumumkan perjanjian penting antara dua peruncit terkemuka, yang kami yakin akan membantu membawa e-dagang di China kepada tahap yang seterusnya dan memberi manfaat kepada berjuta-juta pengguna,” kata Ketua Eksekutif JD.com, Richard Liu.

“Yihaodian akan terus menawarkan pengalaman pengguna yang luar biasa kepada pelanggan yang akan kami tingkatkan dengan memanfaatkan keupayaan logistik dan keluasan kategori produk kami.”

“Kami teruja bekerjasama dengan pemimpin yang kuat dalam JD.com, dan potensi hubungan yang baru ini untuk pelanggan di China, dan juga untuk perniagaan kami,” kata Ketua Eksekutif Wal-Mart, Doug McMillon.

Dalam dagangan tengah hari, saham Wal-Mart meningkat 0.5 peratus kepada AS$71.29, manakala JD.com pula melonjak 7.9 peratus kepada AS$21.72.